Finalis Fifa Puskas 2016 Mohd Faiz Subri diberi ganjaran RM15,000 oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana berjaya masuk dalam kelompok tiga terbaik anugerah berprestij dunia.
Namun pemberian itu tidak ada kaitan dengan cubaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik pemain Pulau Pinang itu menyertai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor perkenan untuk memberi kurniaan sebanyak RM15,000 kepada Mohd Faiz Subri diatas kejayaan beliau berada dalam kelompok tiga terbaik Anugerah FIFA Puskas,” kata TMJ dalam Facebook Johor Southern Tigers.
“Kurniaan ini diberikan sebagai penghargaan atas kejayaan beliau yang telah mengharumkan nama negara namun ianya tidak ada sebarang kaitan berkenaan spekulasi beliau akan menyertai JDT untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.”
Faiz disenarai pendek bersama Johnath Marlone dari Brazil dan Daniuska Rodriguez, pemain pasukan wanita Venezuela untuk anugerah 9 Januari depan.
Bulan lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mencalonkan 10 gol menarik yang dijaring antara 30 September 2015 hingga 30 September lalu.
Calon-calon gol itu termasuklah jaringan Lionel Messi (Barcelona dan Argentina), Neymar (Barcelona dan Brazil), Mario Gaspar (Villareal dan Sepanyol) dan Saul Niguez (Atletico Madrid dan Sepanyol).
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW