Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza ketiga (GV3), Zarul, 43, masih berbelah bahagi sama ada mahu melepaskan kerjaya tetap sebagai pramugara atau menjadi penyanyi sepenuh masa.
Pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin itu menjelaskan, cuti tanpa gaji yang masih berbaki beberapa minggu lagi memberi ruang untuknya berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pelepasan daripada majikan untuk beberapa minggu lagi adalah masa terbaik untuk saya membuat pertimbangan dan memikirkan secara mendalam percaturan masa depan. Buat masa ini saya tidak dapat memberikan kata muktamad kerana semuanya masih kabur.
“Saya tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru. Pelbagai aspek perlu dititik beratkan. Sekiranya ada rezeki untuk bergelar penyanyi sepenuh masa, maka akan terlaksana perancangan itu,” katanya kepada BH Online.
Vokalis kumpulan Umbrella itu sudah menyandang kerjaya di awan biru sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu, GV3 yang berakhir malam tadi menyaksikan Azharina dinobatkan sebagai juara disusuli Siti Sarah di tangga kedua. Sarah juga memenangi Anugerah Persembahan Pilihan Penonton yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.
Zarul yang mempertaruhkan Dendangan Laguku dan Gerhana pula memenangi tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sebidang tanah lot, pakej percutian serta trofi.
Sistem pemarkahan diadili seratus peratus oleh empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khatijah Ibrahim serta dua juri jemputan, Datuk Jamal Abdillah dan penyanyi dari Indonesia, Hetty Koes Endang.
Program yang dipancarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menyaksikan persembahan penghibur jemputan, Datuk Siti Nurhaliza, manakala Nabil Ahmad dan Jihan Muse dipertanggungjawabkan sebagai pengacara.
Sumber: BH Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW