Dadah membawa padah!
Dua penjawat awam yang sedang asyik berhibur di sebuah pusat hiburan terkemuka di bandar raya ini ditahan dalam operasi khas bermula pukul 12 tengah malam hingga 9 pagi ini kerana didapati positif dadah dipercayai ekstasi.
Kedua-duanya yang berusia dalam lingkungan 40-an merupakan antara enam penjawat awam yang diperiksa dalam operasi oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) yang turut menahan 75 orang termasuk warga asing.
Empat serbuan itu dijalankan di pusat hiburan terkemuka, masing-masing di Star Club dan Platinum di Taman Sentosa; Boss Club Cafe & Bistro di Nusa Bestari Bestari Jaya, Skudai dan Deluxe Karaoke Lounge di Holiday Plaza.
Operasi khas yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Kamarul Zaman berkata, pasukan khas SPRM yang turut serta dalam operasi tersebut turut mengambil butiran peribadi kedua-dua kakitangan awam berkenaan untuk tindakan susulan.
Selain dua penjawat awam itu, tambahnya, seramai enam orang termasuk dua wanita berusia antara 21 hingga 32 tahun yang merupakan orang dikehendaki polis serta mempunyai rekod jenayah lampau turut ditahan.
Menurutnya, turut ditahan seramai 56 wanita, masing-masing terdiri daripada 34 warga Vietnam, 20 China dan dua Indonesia berusia antara 19 hingga 34 tahun kerana disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).
“Daripada jumlah wanita yang ditahan itu, kita berjaya menyelamatkan lapan wanita Vietnam dan dua China daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai GRO di pusat hiburan tersebut.
“Dalam empat serbuan itu juga, seramai tujuh orang termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 50 tahun yang dipercayai penjaga dan juruwang di pusat hiburan berkenaan turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, mereka turut menahan empat lelaki Nepal serta masing-masing seorang lelaki dan wanita Myanmar berusia antara 22 hingga 37 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Dalam operasi khas itu, pelbagai jenis dadah dipercayai syabu, ketamin, pil ekstasi, ganja dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM20,000 disyaki untuk dijual kepada pelanggan pusat hiburan turut ditemukan, katanya sambil memberitahu sembilan mesin judi dan 32 mesin pusat hiburan keluarga turut dirampas.
Sumber: Utusan Online
Sumber 2 Penjawat awam dicekup tengah ‘lalok’ di Johor Bahru