Tindakan seorang pemuda memuat naik hasil kerja sehariannya membersihkan kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Segamat, Johor, di Facebook menarik perhatian ramai pengguna sosial.
Muhd Dinie Syazwi Abdullah, 30, berkata tidak timbul perasaan malu berkongsi pekerjaan menyapu, mengangkat sampah dan mencuci longkang sehingga mendapat respons positif netizen.
“Sejujurnya selepas bergelar tukang sapu sampah, hidup saya tenang dan tidak perlu memikirkan bebanan kerja yang banyak biarpun pulangan yang diperoleh tidak setinggi pekerjaan lain yang lebih selesa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
“Saya percaya selagi kita gembira melakukan sesuatu pekerjaan kita akan lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik tanpa mengetepikan tugas hakiki sebagai umat Islam.”
Bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini menjadi viral apabila gambar dan statusnya bertugas mendapat lebih 10,000 perkongsian di Facebook.
Akaun Facebooknya kini juga penuh kenalan baru sehingga mencapai jumlah maksimum 5,000 orang.
Katanya, tujuannya berkongsi pengalaman di media sosial kerana mahu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap pekerjaan itu.
“Tiada apa yang memalukan dengan pekerjaan ini. Orang sekeliling juga lebih ramah apabila mereka mengenali siapa yang membersihkan persekitaran mereka dan hidup bebas daripada tekanan kerja,” katanya yang turut menjadi perhatian warga kampus.
Sumber Bebas Tekanan Kerja, Tenang Jadi Tukang Sapu UiTM
Tags:
TerkiniInfo