EKVE Punca Air Sungai Langat Makin Keruh


Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) adalah antara penyumbang kepada peningkatan kekeruhan air sungai sehingga menyebabkan pengurangan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, baru-baru ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan semalam, berkata hujan lebat sejak Jumaat lepas menyebabkan hakisan tanah mengalir masuk ke Sungai Langat melalui dua anak sungai iaitu Sungai Sub dan Sungai Michu.
“SPAN mengambil serius akan gangguan bekalan air lebih-lebih lagi semasa pengguna sedang membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada 28 Januari akan datang,” menurutnya.
Menurut kenyataan itu, SPAN telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama semua pihak terlibat  bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi mengatasi isu kemorosotan kualiti air Sungai Langat. 
“EKVE Sdn Bhd akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) dilaksanakan lebih berkesan seperti yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Semua pihak akan meningkatkan kerjasama bagi memantau rapi kualiti air sungai terutama semasa hujan bagi mengatasi masalah peningkatan kekeruhan sungai dapat diatasi,” menurutnya.     
SPAN mengulas mengenai laporan beberapa akhbar berhubung gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang berpunca daripada kemerosotan kualiti air Sungai Langat.
LRA Langat terpaksa mengurangkan purata pengurangan air setiap hari sebanyak 20 Juta Liter Sehari (JLH) sejak 13 Jan sehingga Selasa lepas akibat kemerosotan kualiti air Sungai Langat.
“Purata pengeluaran air pada hari biasa sebanyak 436 JLH dikurangkan kepada 416 JLH dan ini menjejaskan bekalan air kepada 65 kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan sebanyak 62,605 akaun pengguna,” katanya.           
Menurut kenyataan itu, sebanyak 59 daripada 65 kawasan yang terjejas telah pulih sepenuhnya dengan peratus pemulihan sebanyak 94 peratus setakat 1 tengah hari semalam.
“Enam kawasan masih belum pulih sepenuhnya ialah Kampung Cheras Baru, Taman Pandan Perdana, Taman Pandan Indah Komersial, Taman Lembah Maju, Taman Teratai dan Taman Bukit Pandan dengan sejumlah 8,610 akaun pengguna.        
“Untuk itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menyediakan sebanyak 15 lori tangki serta menempatkan sembilan tangki statik bagi menghantar bantuan air kepada kawasan-kawasan masih belum pulih,” menurut kenyataan itu. ― Bernama


Sumber EKVE Punca Air Sungai Langat Makin Keruh

Post a Comment

Previous Post Next Post