Usahawan Rosnizan Md Nawi, yang dianggap mirip pelakon jelita Rozita Che Wan, memang bertuah rupanya dapat membantu melariskan perniagaan tudungnya.
Lebih mesra dipanggil Che Zan, model anak tiga ini sering kali menghadapi situasi apabila masyarakat keliru dan menganggap dirinya Che Ta.
“Memang ada orang kata [macam muka Che Ta] dan keliru. Saya tidak pernah kata [begitu]. Nanti orang ingat saya perasan pula.
“Tetapi mungkin kebetulan muka sama. Rezeki saya ada di situ. Orang kata, perniagaan Ilham Qaseh laris, alhamdulillah itu tempiaslah.
“Tumpang populariti tiadalah, sebab Che Ta itu siapa, saya ini biasa-biasa saja,” kata pemilik tudung jenama Ilham Qaseh ini dalam wawancara bersama ProjekMMO baru-baru ini.
Menceritakan pengalamannya didekati orang yang menyangkanya Che Ta di majlis Anugerah Melodi bulan lalu, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini teruja melayan “peminat”.
Tanpa fikir panjang peminat Che Ta yang keliru di beberapa majlis hiburan akan terus menyapanya.
“Ada orang hendak bersalam, terus bergambar. Ada juga yang tanya ‘muka macam Che Talah. Boleh tidak kalau hendak bergambar?’
“Tapi yang seronoknya, ke mana saya pergi saya suka kerana orang cepat mesra dengan saya,” kata pengusaha tudung atas talian sejak hampir tiga tahun ini.
Meski begitu, Che Zan, 36, juga tidak dapat lari daripada menghadapi situasi sukar apabila dirinya diekori orang tidak dikenali awal tahun lepas.
“Ada seorang lelaki ekori saya sehingga ke lif semata-mata hendak mengesahkan sama ada betul ke saya ini Che Ta. Takut juga masa itu.
“Nasiblah tiada apa-apa. Tapi walaupun lepas itu dia tahu tersalah orang, dia malu. Yang lagi kelakar, dia nak bergambar juga,” katanya.
Bagaimanapun, Che Zan menegaskan perniagaan tudungnya diusahakan dengan hasil titik peluhnya sendiri dan bukannya menumpang populariti Che Ta.
“Saya sudah berusaha keras. Tiga tahun sudah bertapak, alhamdulillah.
“Saya tiadalah pula guna nama artis mana-mana; usaha sendiri. Hendak berniaga ini kena ada strategi,” kata pemegang diploma seni persembahan UiTM Shah Alam ini.
Che Zan yang bermodalkan RM2,000 kini mempunyai lebih 300 pengedar dalam dan luar negara. Berpusat di Shah Alam, syarikatnya berjaya menjual lebih 3,000 helai tudung sebulan.
“Modal dulu kecil sahaja. Yang penting kita kena berseni waktu hendak meniaga.
“Saya syukur, tudung saya mendapat permintaan di Brunei, Madinah dan Australia. Harap boleh berkembang lagi selepas ini,” katanya lagi.
Sumber: MMO
Sumber Berkat Persis Che Ta, Jualan Tudung Che Zan Laris Macam Goreng Pisang
Tags:
TerkiniInfo