'Sangkakan Ada Berita Buruk, Rupanya Allah Nak Kirim Rezeki..'


Setengah jam selepas aku post artikel ‘Takpe Cikgu, Memang Saya Tak Bawak Duit’, dah pun ada beberapa sumbangan masuk. Tanpa berlengah, aku call ayah murid tersebut dan ajak berjumpa di 7-E Greenwood.

Kat situ ada ATM, senang aku nak cucuk dah serah sumbangan terus. Ayahnya setuju untuk jumpa aku. Sebaik aku siap cucuk duit, ayah dan uminya sampai. Muka uminya resah, ayah pun sama. Cuma dia buat-buat tenang sahaja.
Bila aku ajak duduk, uminya menolak. Keresahan diwajah tidak dapat dibendung. Ayahnya memula bicara,
“Cikgu. Kenapa cikgu ajak jumpa malam-malam ni?”
“Macam ini bang. Saya sebenarnya agak aktif dalam projek amal. Dah bertahun saya ‘run’ benda ni. Bla… Bla… Bla…,” Aku jelaskan satu persatu kepada kedua mak ayah muridku ini.
Si umi mengurut dada. Baru dia duduk di kerusi. Lantas dia berkata,
“Allah cikgu. Berdebar saya tadi. Ingatkan anak saya yang tahun 5 tu pukul orang ke, curi barang orang ke. Ingatkan cikgu tak tergamak nak cerita kat rumah tadi.”
Si ayah pun terus hilang wajah yang resah. Bila aku bagitahu nak serah sumbangan, berkaca terus mata si umi. Ayah pun nampak terharu. Macam biasa aku jelaskan,
“Abang, kakak. Ini bukan duit saya. Ini sumbangan sahabat saya, ada yang sedekah, ada yang mengirim zakat.
Pertama sekali saya minta, belikan baju sukan untuk anak ditahun 5 tu esok. Biar dia boleh masuk acara merentas desa.
Dan sepanjang minggu ini, kalau boleh saya nak abang bagi anak-anak duit belanja rm2 seorang. Selebihnya, terpulang la kat abang nak bayar bil tertunggak ke, beli baju anak ke, beli barang dapur ke.
Dan saya minta sangat-sangat, abang dan kakak doakan penderma ini. Ada yang berhajatkan anak, ada yang berhajatkan jodoh, ada yang berhajatkan murah rezeki, ada yang berhajatkan kesihatan yang baik, dan ada yang berhajatkan umur yang panjang.
Minta tolong anak-anak abang dan akak doakan sekali. Doa kanak-kanak ni ikhlas. Mustajab biasanya.
Tolong ya bang. Tolong ya kak. Doakan sahabat-sahabat saya doa yang baik-baik,” panjang lebar aku menjelaskan.
” Cikgu, akak buat solat hajat untuk sahabat-sahabat cikgu,” balas si umi sebak. Hampir menitis air mata dia berkata. Si ayah mengangguk kecil. Tidak terkata dia.
Disangka ada berita buruk, rupanya Allah nak kirim rezeki kat mereka. Dah berapa lama anak-anak mereka tak berduit ke sekolah. Esok, anak-anak itu boleh berbaris di kantin seperti kawan-kawan mereka dan membeli makanan.
Hati mak ayah siapa yang tak gembira?
Buat sahabat baru, ini ialah kewajipan aku setiap kali aku menghulur sumbangan kau orang. Aku akan meminta doa dari keluarga mereka. Sahabat lama aku dah maklum dah gaya aku. Doa orang-orang sebegini lebih dekat dengan Allah. Sungguh!
Dan buat sahabat yang baru follow aku, kalau pun kau orang sangsi dengan keikhlasan aku, mohon sangat jangan dengki. Sahabat lama aku semua dah maklum aku pernah kena dengki pada Projek Ramadhan tahun lepas.
Tak perlu la aku cerita semula kisah lama. Cuma kalau ada rasa sangsi tak apa lah. Tak nak tolong pun tak apa juga. Aku mohon dengan sangat jangan ada yang dengki. Mohon dengan sangat. Mohon dengan sangat


Sumber 'Sangkakan Ada Berita Buruk, Rupanya Allah Nak Kirim Rezeki..'

Post a Comment

Previous Post Next Post