“Saya dinasihatkan tidak melakukannya lagi oleh anggota polis trafik yang tiba kerana ia boleh membahayakan nyawa saya,” kata Muhammad Syameel Mad Daud, 16, yang gambarnya tular ketika mengawal lalu lintas di lampu isyarat persimpangan Jalan Rugayah di sini, yang tidak berfungsi akibat bekalan elektrik terputus, kelmarin.
Ketika dihubungi Harian Metro semalam, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Onn, Batu Pahat, itu berkata, selepas 15 minit mengawal lalu lintas dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, beberapa anggota polis trafik tiba untuk mengawal keadaan.
“Mereka memberi nasihat dan amaran perbuatan itu boleh mengancam nyawa saya dan saya memohon maaf sambil memberitahu niat saya hanya untuk membantu pengguna jalan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Syameel berkata, dia tidak menyangka gambarnya cuba membantu menyelesaikan kesesakan lalu lintas itu menjadi tular di media sosial terutama di Facebook.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan pulang daripada aktiviti kokurikulum di sekolah dan apabila sampai di persimpangan lampu isyarat itu saya mendapati lalu lintas di situ sesak akibat ia tidak berfungsi,” katanya.
Menurut Syameel, pada mulanya dia gementar untuk cuba membantu menyelesaikan kesesakan jalan berkenaan dan risau dengan keselamatannya di tengah jalan itu.
“Niat saya semata-mata untuk membantu orang ramai yang menggunakan jalan raya tidak lebih dari itu tetapi mungkin saya bukan orang yang layak kerana perlu fikirkan soal keselamatan diri.
“Walaupun tindakan saya ketika itu sangat bahaya, saya berpuas hati dapat membantu orang ramai yang menggunakan jalan raya berkenaan daripada menghadapi kesesakan,” katanya.
Sumber: Metro
Sumber Budak 16 tahun jadi viral lepas kawal lalu lintas dinasihati polis agar tak buat lagi