Seorang gadis Korea Selatan, yang memeluk Islam susulan serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq, menarik perhatian ratusan ribu warga internet, termasuk di Malaysia.
Ayana Moon, yang manis bertudung, mendedahkan kisah bagaimana perang tersebut — pada 2003, ketika usianya masih kanak-kanak — menarik minatnya untuk mendalami agama ini.
Diikuti 206,000 orang di Instagram, beliau yang akan berada di Bangi, Selangor hujung minggu ini mendedahkan pengalamannya mencari Islam dalam YouTube pada Isnin.
“Ketika saya berumur lapan hingga sembilan tahun, perang meletus di Iraq dan pada waktu itu saya yang mula menggunakan internet mencari Iraq di internet,” katanya, lahir pada 1995.
“Pada waktu itu, saya mendapat tahu Islam agama penduduk [Iraq]. Saat itu pertama kali saya mendengar Islam dan saya fikir sebutan perkataan ‘Islam’ sangat comel.
“Jadi, saya mula buat kajian mengenai Islam dari internet dan saya melihat mereka mengenakan pakaian longgar, mereka tutup muka dan mereka memakai hijab macam saya pakai sekarang.”
Kata Ayana lagi, yang berada di Malaysia sejak 16 Januari lalu, perasaan ingin tahu semakin menebal ketika berada di sekolah tinggi sehingga ibu bapa dan gurunya menyedari hal itu.
Walau sudah mengenali Islam dan dunia Arab, beliau pernah menyertai kem Kesatuan Belia Islam Dunia (Wamy), sebuah pertubuhan Islam terkenal, di Korea selama tiga hari dua malam.
Bermula daripada kem tersebut, Ayana memutuskan untuk terus menyertai program agama di masjid setiap minggu sehingga berjumpa dengan pembimbingnya.
“Saya menyertai program setiap minggu di masjid Salam Nuri dan bertemu mentor [saya] pakcik Amin. Saya belajar dan belajar lagi mengenai Islam daripadanya sehingga saya menjadi seorang muslimah Korea!” katanya.
Waktu awal mendekati Islam, Ayana masih bimbang imej buruk agama ini di Korea Selatan tetapi program Wamy yang disertainya berjaya menyingkir prasangka tersebut.
Beliau mengakui berkongsi pengalaman melalui rakaman video di YouTube satu keputusan sukar, antaranya bimbang keluarganya yang masih bukan Islam diapa-apakan.
“Apa yang saya mahu nyatakan, video ini pengalaman peribadi saya dan ia tidak mewakili wajah keseluruhan Islam,” katanya, yang sering memperagakan keluaran butik Leeyana Rahman.
Sumber: Projek MMO
Sumber Gadis Korea Selatan, Ayana Moon peluk Islam susulan serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq