Gagal kejar pencuri kabel, MB mahu polis campur tangan

Kegiatan mencuri kabel telekomunikasi yang semakin menjadi-jadi di negeri Perak adalah dipercayai didalangi oleh sindiket terancang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata terdapat beberapa modus operandi yang digunakan penjenayah seperti menyamar pekerja TM dan menutup nombor pendaftaran kenderaan. — Foto oleh Yusof Mat Isa

Katanya, sindiket tersebut dipercayai terbabit memandangkan kes kecurian kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia Berhad (TM) di negeri itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lepas.

Berdasarkan statistik TM, katanya, sebanyak 1,359 kes kecurian kabel dicatatkan di negeri itu tahun lepas dengan daerah Sitiawan merekodkan kes tertinggi diikuti daerah Taiping and Batu Gajah.

“Ini menunjukkan kes berkenaan amat serius dan saya telah meminta pihak polis membuat siasatan terperinci bagi menangani kes ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di rumah bekas anggota Parlimen Lumut, Tan Seri Kong Cho Ha, di sini hari ini.

Katanya, kes kecurian berkenaan turut berlaku berhampiran rumahnya di Seri Manjung apabila beliau turut mengejar dua lelaki beberapa hari lepas.

“Kejadian berlaku semasa saya bersama pengawal peribadi baru pulang dari solat Subuh dan melihat ada lelaki cuba memanjat tiang Telekom manakala seorang

lagi sedang menunggu di atas motosikal.

“Apabila kami menghampiri mereka melarikan diri dan pengawal saya bertindak mengejarnya namun tidak berjaya,” katanya yang telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Zambry berkata berdasarkan maklumat polis, terdapat beberapa modus operandi

yang digunakan penjenayah termasuk menyamar sebagai pekerja TM dengan menutup nombor pendaftaran kenderaan.

“Saya menyerahkan perkara ini kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan saya mahu bukan sahaja suspek yang mencuri malahan mereka yang membeli kabel berkenaan turut disiasat,” katanya. — Bernama

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Gagal kejar pencuri kabel, MB mahu polis campur tangan

Post a Comment

Previous Post Next Post