KONTROVERSI membabitkan pelakon dan penyanyi Hollywood, Lindsay Lohan yang dikatakan telah memeluk Islam nyata hanyalah khabar angin sahaja.
Menerusi sebuah portal Gossip Cop berpengkalan di New York, Amerika Syarikat, melaporkan ibu Lindsay, Dina dan jurucakap pelakon itu mengesahkan yang dia tidak menukar agama kepada Islam.
Menurut ibunya, Lindsay hanya ingin berehat dari media sosial susulan semua gambar di Twitter dan Instagram anaknya itu dipadam baru-baru ini.
Jurucakap pelakon Mean Girls itu turut mengesahkan Lindsay memang sedang mendalami agama lain termasuk Islam tetapi belum menjadi seorang Muslim.
“Dia tidak masuk Islam,” kata jurucakapnya.
Sementara itu, terdapat sebuah portal yang menilai sesebuah laporan sama ada benar atau khabar angin mengesahkan berita Lindsay memeluk Islam hanyalah khabar angin dan berita palsu semata-mata.
Sebelum ini, pelakon berusia 30 tahun itu telah menulis perkataan ‘Alaikum Salam’ dan memadam semua gambar di akaun laman sosialnya sehingga netizen menganggap dia mungkin telah memeluk agama Islam.
Tindakan pelakon kanak-kanak dalam filem The Parent Trap ini mendapat respon yang baik daripada netizen beragama Islam yang mengucapkan tahniah jika benar dia sudah memeluk agama Islam.
Berita mengenai bekas bintang Disney ini berkemungkinan sudah memeluk Islam tersebar sejak 2015 apabila dia dirakam memegang kitab suci Al-Quran ketika melakukan kerja khidmat masyarakat di Brooklyn.
Khabar angin mengenai dia memeluk agama Islam semakin menular kuat apabila aktres itu mengenakan pakaian muslimah lengkap berselendang ketika melawat Turki.
Bagaimanapun, Lindsay sendiri tidak menyatakan dia memeluk Islam dan tidak menjawab ketika diminta mengulasnya.
Ini bukanlah kali pertama selebriti luar negara dikhabarkan memeluk agama Islam kerana sebelum ini pelakon Fast & Furious, Tyrese Gibson juga dilaporkan telah memeluk agama Islam namun dinafikannya.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Sumber Hanya mahu berehat dari media sosial, ibu sahkan Lindsay Lohan belum masuk Islam