Isu guna dana Mara taja Kelantan, Annuar dicabar buat laporan polis

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa digesa membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan wang Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar dicabar buat laporan polis

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, laporan polis adalah bagi membuktikan dakwaan tersebut tidak benar.

“Saya cabar Annuar untuk buat laporan polis ke atas pemfitnah. Berani kerana benar. Kalau tak salah, buat laporan polis.

“Jika tidak, beliau perlu letakkan jawatan sebagai Pengerusi Mara kerana ini bukan pertama kali Mara terpalit dengan skandal,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis berhubung isu salah guna kuasa dan dana Mara/UniKL oleh Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menyelamatkan The Red Warriors (TRW).

Ini susulan kenyataan di laman Facebook Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendedahkan perkara itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, wang Mara dan UniKL sepatutnya digunakan untuk keperluan masa depan anak muda.

“Saya faham keperluan untuk taja kelab bola sepak. Tetapi jika wang dan dana institusi pendidikan digunakan untuk selamatkan kelab bola sepak, ini tindakan salah.

“Jangan gadaikan pendidikan mahasiswa untuk menutup kesalahan urus tadbir beliau. Saya juga sarankan semua rakyat Malaysia bangkit pertahankan institusi pendidikan untuk memastikan masa depan dan pendidikan anak Melayu khususnya dijaga,” katanya.

Katanya, Armada Bersatu juga dijangka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan perkara sama, esok.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa polis mengambil tindakan terhadap Annuar yang menyifatkan dakwaan Tunku Mahkota Johor itu sebagai ‘hujah yang bodoh’.

“Dulu saya pernah dituduh sebagai pengkhianat bangsa apabila mencabar monarki dan Tuanku Sultan Johor. Malah, saya disiasat di bawah Akta Hasutan dan dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk beri keterangan.

“Jadi apabila Annuar guna perkataan bodoh untuk bidas Tunku Mahkota Johor, beliau mesti disiasat. Jika tiada tindakan terhadap beliau, ia jelas menunjukkan wujud pihak tertentu dalam sistem kehakiman dan PDRM yang cuba memelihara kepentingan politik mereka,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Isu guna dana Mara taja Kelantan, Annuar dicabar buat laporan polis

Post a Comment

Previous Post Next Post