PASANGAN pelakon, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah sah bergelar suami-isteri pertengahan tahun lalu kini sedang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Makkah.
Nampaknya perancangan yang dilakukan oleh pasangan ini dipermudahkan Allah yang telah merancang untuk menunaikan umrah sebelum bergelar pasangan suami isteri lagi sekali gus menyambung sesi bulan madu mereka.
Azwan menerusi laman Instagram peribadinya sempat berkongsi beberapa fotonya dan isteri ketika melakukan ibadah sunat tersebut.
Kesempatan berada di tanah suci menjadikan pelakon berusia 32 tahun ini merasakan dirinya begitu banyak bergelumang dengan dosa.
Menurutnya, semua jemaah yang berada di tanah suci berlumba-lumba untuk melakukan ibadah dan menyucikan diri dari dosa yang dilakukan. Malah Azwan turut menitipkan pesan supaya jangan jadi sepertinya.
Perasaan itu diluahkannya ketika berkongsi foto berlatar belakangkan Kaabah berbunyi: “Kat sini semua orang berpusu-pusu mengerjakan ibadat, tak kira la, tua, muda, sihat atau berkerusi roda, semua sama je.
“Sebab dia orang tahu benda yang tak nampak tu memang ada. Kalau lah kita tahu betapa maha dahsyatnya neraka tu, mesti dah tak nak buat dosa dah. Jangan ikut macam saya ni, dosa bersepah,” tulisnya.
Foto-foto yang dikongsi sekitar mengerjakan umrah menerima ribuan likes daripada peminat-peminatnya mahupun isterinya.
Rata-ratanya mendoakan yang terbaik buat pasangan ini dan tidak kurang juga yang turut mengirim doa melalui ruangan komen-komen di foto-foto tersebut.
“Doakan keputusan SPM saya cemerlang ye kak @ezzatyabdullah n abg @azwankombos, haha,” tulis individu zck___.
Manakala officialhadiq pula: “Ya Allah permudahkan segala urusan Abe wan @azwankombos #idolaMe.”
Turut kelihatan bersama-sama pasangan ini mengerjakan umrah adalah pelakon dan pengasas label Owl iaitu Nora Danish serta pelakon baharu, Azira Shafinaz. – MYNEWSHUB.CC
Sumber Jangan Ikut Macam Saya, Dosa Bersepah – Azwan Kombos
Tags:
TerkiniInfo