Kerana enggan bermain ‘bola api’, seorang remaja orang kurang upaya (OKU) terpaksa menanggung derita selepas beberapa anggota badannya melecur akibat ‘dibakar’ oleh rakan sendiri di Padang Permainan Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar di sini, Khamis lalu.
Mangsa, Muhammad Ikhwan Fahami Mohd. Shahrizal, 13, yang merupakan OKU masalah pembelajaran berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika dia keluar bermain bersama lima rakannya yang berusia di antara sembilan hingga 13 tahun.
“Mereka mengajak saya bermain ‘bola api’ yang dihasilkan sendiri dengan cara menyimbah petrol pada sejenis buah kering dan dibakar. Tetapi saya enggan kerana takut terkena api.
“Tiba-tiba salah seorang rakan yang juga berusia 13 tahun menyimbah petrol ke baju saya dan mengacah-acah pemetik api. Tindakan itu menyebabkan api menyambar dan sebahagian daripada badan saya di sebelah kiri terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Ikhwan Fahami berkata, dia yang kepanasan terus menjerit dan berguling di atas padang bagi menyelamatkan diri.
“Salah seorang rakan membantu mengibas badan saya yang terbakar dengan bajunya. Namun saya akhirnya pengsan dan hanya tersedar ketika berada di hospital,” katanya.
Sementara itu ibu mangsa, Haslinda Hashim, 39, memberitahu, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu setelah diberitahu seseorang ketika Muhammad Ikhwan Fahami sudah pun berada dalam ambulans.
“Ketika itu saya lihat sebelah kiri badan dan kedua-dua tangannya kemerah-merahan akibat melecur. Mujur setelah empat hari menerima rawatan di HSB, dia sudah dibenarkan pulang hari ini tanpa perlu menjalani pembedahan,” katanya.
Haslinda berkata, suaminya, Mohd. Shahrizal Abd. Rahman, 36, telah membuat laporan polis sehari selepas kejadian namun bercadang untuk menyelesaikan kes itu secara baik.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Nashir Ya berkata, kejadian dipercayai berlaku secara tidak sengaja ketika mangsa bermain bersama rakan-rakannya.
“Akibat kejadian itu mangsa melecur kira-kira 10 peratus dan bapa mangsa memutuskan untuk tidak memanjangkan kes tersebut untuk diselesaikan secara baik,” katanya.
Sumber: Utusan
Sumber Kerana enggan bermain bola api, remaja OKU melecur dibakar rakan