Keterujaan sambut tahun baru bertukar kalut, suri rumah pecah air ketuban masa karaoke dikejarkan ke hospital | Keterujaan seorang suri rumah, Zarina Shamsul, 33, menyambut tahun baru bersama keluarga di pusat karaoke berakhir di wad bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.
Dia yang sarat mengandung terpaksa dibawa oleh adiknya ke HKL pada jam 4 pagi selepas mengadu sakit pinggang dan pecah air ketuban di pusat hiburan keluarga terletak di Sri Gombak itu.
“Saya sebenarnya sudah sakit pinggang sejak dua atau tiga hari lepas namun masih mampu bertahan.
“Sebab itu, saya masih kuat untuk bersama adik-beradik yang lain menyambut tahun baru dan tidak mahu mengecewakan mereka memandangkan saya adalah anak sulung,” katanya yang bersalin secara normal pada jam 6.30 pagi, semalam.
Bayi perempuan Zarina seberat 2.85 kilogram (kg) antara 13 bayi tahun baru yang dilahirkan setakat jam 2 petang semalam di HKL.
Menurut Zarina, anak keempatnya itu juga berkongsi tarikh lahir bersama ayahnya, Shamsul Bari Latip, 65.
“Saya tidak menyangka akan bersalin awal sedangkan tarikh yang ditetapkan adalah pada 3 Januari ini.
“Ayah saya adalah orang yang paling gembira kerana cucunya dilahirkan pada tarikh sama dengan dirinya dan setakat ini, saya dan suami masih belum memilih nama bagi puteri ketiga kami itu,” katanya.
Sementara itu, bayi tahun baru pertama seberat empat kg yang dilahirkan pada jam 12.28 tengah malam semalam di HKL ialah anak kepada pasangan Lim Peng Kuan, 35, dan Kuan See Yan, 32.
See Yan berkata, kelahiran anak ketiganya itu dianggap hadiah Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
“Suami dan anak juga berkongsi zodiak sama berdasarkan kalendar Cina iaitu tahun ayam. Mengikut kepercayaan kami tahun ini adalah tahun ayam emas yang bermaksud kekayaan.
“Namun, apa yang penting adalah kesihatan anak dan syukur semuanya sudah selamat,” katanya yang bersalin lewat lapan hari dari tarikh yang ditetapkan.
Sumber: Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW