Presidennya Datuk Seri Ahmad Bashah Abu Hanipah berkata, peruntukan terbabit termasuk pengurusan untuk pasukan bola sepak wanita, pasukan belia, pasukan Piala Presiden dan pasukan utama yang menjulang Piala Malaysia pada musim lepas.
Katanya, perbelanjaan akan dilaksanakan secara berhemah tetapi di masa yang sama akan meneruskan perancangan agar pasukan bola sepak Kedah dapat terus mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2016.
Namun, beliau optimis Kedah dapat meraih lagi beberapa gelaran pada musim ini termasuk Piala Sumbangsih, Juara Liga Super dan Piala FA.
“Peruntukan pada tahun ini kita bajet RM27 juta, tapi itu bajet, kita tidak boleh lebih pada itu, kita akan kawalkan perbelanjaan ini secara berhemah dan mungkin di bawah RM27 juta, kita tahu negeri lain berbelanja sampai RM60 -RM70 juta, kita setakat mampu setakat tu saja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pelancaran Pasukan Kedah Darulaman 2017 di Bandar Darulaman, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Bashah lagi, Kedah tidak menghadapi banyak masalah dalam penajaan pasukan pada musim ini.
Katanya, Bina Darulaman Sdn Bhd (BDB), Syarikat Air Darulaman (SADA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), syarikat peralatan sukan Al-Ikhsan dan syarikat pengangkutan, Cosmic adalah penaja utama pada musim ini.
BDB menyumbang sebanyak RM12 juta, manakala SADA dan PKNK sebanyak RM5 juta masing-masing, selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, Kedah turut menyenaraikan 25 pemain yang akan bersaing dalam liga super musim ini termasuk dua pemain import baharu Zachary Micheal Anderson dari Australia dan Ken Ilso Larsen dari Sweden.
Dua pemain import yang dikekalkan iala Sandro de Silva dari Brazil dan Liridon Krasniqi dari Kosovo.Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Ho, Mohd Rizal Ghazali akan terus menyarung jersi Kedah pada musim ini, walaupun pada mulanya dikatakan telah menandatangani kontrak bersama Felda United.
Sumber KFA perlu RM27 juta tahun ini - Presiden KFA