Tinjauan pendapat mendapati orang ramai lebih selesa menggunakan ‘selfie’ berbanding istilah baru bahasa Melayu swafoto dan ‘viral’ berbanding tular.
Antara alasan diberikan ialah sudah terbiasa dan lebih mudah difahami berbanding perkataan bahasa Melayu yang baru diperkenalkan itu.
Itu antara hasil tinjauan dalam talian Harian Metro mengenai lapan istilah bahasa Melayu yang diperkenalkan yang sebelum ini menggunakan bahasa Inggeris, iaitu tular (viral), suri teladan (role model), jerayawara (road show), latar pentas (back drop), gegantung (bunting), imej tumpu (highlight), pascanilai (post mortem) dan swafoto (selfie).
Istilah bahasa Inggeris itu amat popular di media sosial sehingga pakar rujuk bahasa Melayu, Ismail Dahaman berpendapat sikap malas membuka kamus Bahasa Melayu antara punca sesetengah istillah bahasa Melayu masih janggal digunakan.
Hasil tinjauan menunjukkan 80.9 peratus daripada 157 responden memberi jawapan sedemikian bagi soalan adakah mereka lebih selesa menggunakan perkataan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Sebanyak 22 peratus berpendapat bahasa Melayu terlalu banyak mengalami perubahan hasil adaptasi daripada bahasa Inggeris yang menyukarkan untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian.
Sebanyak 86.2 peratus responden langsung tidak menggunakan istilah baru bahasa Melayu itu sebelum ini kerana hampir separuh responden baru menyedari kewujudannya.
Selepas mengetahui kewujudan lapan istilah berkenaan, 70 peratus responden mengakui tidak akan menggunakannya dalam perbualan harian dengan alasan ia janggal dan tidak selesa digunakan.
Berdasarkan komen diberikan, 25 peratus responden menyatakan kurang pendedahan terhadap istilah itu,
Penuntut universiti swasta, Mohd Redza Abdullah, 20, berpendapat pelik dan janggal untuk menggunakan istilah baru bahasa Melayu itu dalam perbualan seharian.
“Janggal apabila berbicara dengan rakan dan keluarga. Saya amat yakin ramai rakyat Malaysia tidak menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dengan rakan atau keluarga,” katanya.
Hadi Zainal pula berkata, sukar untuk mempraktikkan istilah baru itu sudah terbiasa dengan mencampurkan perkataan bahasa Melayu dan Inggeris.
“Meskipun kalau tidak kita mulakan, siapa lagi akan mulakan? Namun, perkataan baru ini agak aneh, mungkin mengambil masa untuk dibiasakan,” katanya.
Individu yang mahu dikenali sebagai Ishak, berkata istilah baru itu tidak pernah digunakannya dalam kehidupan sehariannya.
“Saya hidup di kampung, jadi saya rasa tidak mungkin perkataan ini akan digunakan penduduk kampung yang kebiasaannya menggunakan bahasa ‘rojak’ atau loghat kenegerian,” katanya.
Sumber: metro
Sumber Masyarakat lebih suka guna perkataan selfie, viral berbanding istilah baru Bahasa Melayu, tular dan swafoto