Nak bersalin, lelaki pandu bas bawa isteri ke hospital sungai buloh

“Kawan-kawan bergurau suruh beri nama Mohd Eagle. Tapi tidaklah, saya belum putuskan lagi nak beri nama apa,” kata pemandu bas Eagle Expres, Muhammad Ikhsan Ismail, 45.

Gambar isterinya, Noridayu Ali, 29, sebelum ini tular di Facebook (FB) apabila melahirkan bayi lelaki di dalam bas berkenaan jam 1.45 petang, 18 Januari lalu.

“Orang ingat penumpang tapi sebenarnya isteri saya yang bersalin dalam bas sebab masa itu saya minta tukar kerja malam dan tidak bawa penumpang sebab dia (isteri) tak sihat.

“Bila isteri kata sakit nak bersalin, saya terus bawa dia menggunakan bas dari rumah di Rawang, Selangor ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Ikhsan berkata, isterinya bersalin di tempat duduk belakang sebelum sampai ke hospital.

“Saya terpaksa berhentikan bas di tepi jalan bila isteri panggil saya, dan terkejut tengok bayi dah keluar.

“Kelam kabut saya waktu itu dan terpaksa terus memandu ke bahagian kecemasan walaupun jalan sempit nak masuk dengan bas,” katanya.

Dia yang bekerja dengan syarikat itu sejak sebulan lalu, terpaksa membunyikan hon sebelum memberitahu yang isterinya sudah bersalin.

“Alhamdulillah isteri dan anak selamat, walaupun lahir tujuh bulan, bayi sihat dengan berat 2.26 kilogram (kg).

“Isteri dan anak masih di wad neonatal (NICU) dan dijangka keluar esok,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Nak bersalin, lelaki pandu bas bawa isteri ke hospital sungai buloh

Post a Comment

Previous Post Next Post