Nikmatnya berpoligami, pemimpin UMNO teruja dua anak dari dua isteri belajar dalam kelas yang sama | Tuah ayam nampak di kaki, tuah Muhammad Faiz Hashim nampak pada isteri-isteri dan anak-anaknya.
Selepas tersebar foto ketua pemuda Umno bahagian Indera Mahkota, Pahang dicium dua isteri pada Aidilfitri tahun lalu, kini dua anaknya bersekolah Tahun Satu di sekolah sama semalam.
Muhammad Faiz memuatkan foto bersama Muhammad Falah, 7, dan Muhammad Faidhi, 7, bersama ibu masing-masing di hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau di sini.
Kedua-duanya lahir di tangan doktor sama di bilik hospital yang sama pada 31 Ogos 2010 tetapi jarak kelahiran mereka berselang 12 jam, lapor portal Utusan Malaysia.
Muhammad Faidhi dilahirkan isteri keduanya Nik Noor Syuhada Kamarudin, 31, pada pukul 1 petang, manakala Muhammad Falah lahir kemudian oleh isteri pertama Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd Idris, 36.
“Saya teruja kerana ketika dilahirkan, mereka disambut oleh doktor sama. Apabila memasuki alam persekolahan hari ini [Selasa], mereka berada di dalam kelas dan diajar guru yang sama,” katanya.
Pada 15 Julai lalu, Muhammad Faiz dilaporkan berkata gambar dikucup serentak isteri-isterinya “bukan mahu mencari publisiti tetapi hanya untuk menggambarkan betapa indahnya berpoligami.”
“Tidak adil sekiranya saya mengambil gambar hanya bersama isteri pertama sedangkan hakikatnya saya masih mempunyai seorang lagi isteri … yang perlu dijaga hatinya.
“Disebabkan itu saya memuat naik gambar dicium dua isteri bersama anak-anak bagi menunjukkan keharmonian rumah tangga kami,” katanya kepada Harian Metro.
Sumber: Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW