Mia Ahmad yang popular menerusi drama bersiri 'Hati Perempuan' dinikahkan oleh Naib Kadi Masjid Nurul Islam, Aulong, Ustaz Abdul Rashid Azidin di Taiping Sentosa Villa, di sini.
Dengan sekali lafaz, Mohd Izham Tarmizi yang segak berbaju Melayu berwarna krim sah menjadi suami kepada Mia di hadapan kira-kira 200 tetamu yang hadir.
Mia menerima mas kahwin RM2,000 selain menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin lelaki, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Ketika ditemui pemberita, pelakon yang tertarik dengan sikap jujur suaminya itu berkata sebelum majlis akad nikah bermula, beliau agak gementar namun bersyukur setelah upacara itu selesai dan berjalan lancar.
Tambahnya, beliau telah mendapat keizinan daripada suaminya untuk meneruskan dunia lakonan namun akan memperlahankan sedikit bagi menguruskan rumah tangga yang baru dibina.
Sementara itu, Mohd Izham Tarmizi berkata beliau mula mengenali Mia apabila bertemu dengannya di Johor Bahru tahun lalu dan cukup selesa serta senang berkawan dengannya.
"Sebelum ini saya selalu menonton lakonan Mia di televisyen dan meminatinya. Mengenai anak, kami tidak merancang namun tidak menolak rezeki jika itu kehendak Allah," katanya.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata majlis resepsi di Johor belum ditetapkan kerana beliau kini sibuk menjalani latihan dengan pasukan JDT dalam menghadapi perlawanan Liga Malaysia.
"Sasaran JDT adalah untuk menang Piala Liga Super, Sumbangsih dan Piala Malaysia. Saya akan berikan komitmen yang terbaik untuk JDT," katanya.
Majlis resepsi Mia dan Mohd Izham Tarmizi akan diadakan di Taiping Golf & Country Resort malam esok.-- BERNAMA
Sumber Pelakon Mia Ahmad selamat diijab kabul dengan penjaga gol JDT