Seorang peragut tidak bernasib baik apabila dicekup tidak lama selepas melakukan perbuatan itu.
Suspek, Cholid Firmansyah, 24, yang berasal dari Kapas Madya diberkas selepas tertidur di hadapan sebuah pasar mini dekat sini.
Ketua Polis Tambaksari Surabaya, David Triyo Prasojo berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki mencurigakan tertidur bersama sebilah pisau dan sebuah beg berwarna hitam.
“Selepas diselidiki, ternyata gambar pemilik kad pengenalan dalam beg itu, bukanlah gambar suspek, sebaliknya gambar individu lain yang bernama Chin Wan Tjing, 64, dari Tambang Boyo Surabaya,” kata David.
Sehubungan itu, kata David, pihaknya cuba menghubungi pemilik sebenar kad pengenalan tersebut sebelum menahan suspek.
Katanya, berdasarkan kenyataan mangsa, suspek merampas beg miliknya dengan menaiki motosikal yang ditunggang laju.
Siasatan lanjut polis mendapati suspek berhenti di hadapan pasar mini itu dan cuba menggeledah hasil rampasannya.
Entah bagaimana, suspek kemudian dipercayai terlalu mengantuk tertidur di hadapan pasar mini itu sehingga memudahkan pihak polis memberkasnya. –TRIBUNNEWS.COM
Sumber: Utusan
Sumber Peragut tertidur keletihan depan pasar mini dicekup