Produser, Raja Azmi, mendedahkan sudah hampir sebulan beliau bersendirian apabila suaminya, Mohd Eddie Ghazali, terpaksa menetap di Pulau Langkawi selama sembilan bulan.
Raja Azmi, 58, berkata suaminya mendapat tawaran kerja sebagai pemuzik di sebuah hotel di pulau peranginan terkenal itu dan sudah pun berpindah ke sana sejak 4 Disember lalu.
“Sudah hampir sebulan Eddie tiada di sisi. Rasa sunyi sangat. Dia pun pada mulanya agak keberatan mahu mengambil tawaran itu.
“Bagaimanapun selepas berbincang, dia membuat keputusan untuk menerima tawaran berkenaan. Hendak buat macam mana, sudah tertulis rezekinya untuk ke sana,” katanya kepada BH Online.
Raja Azmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis amal Doa Untukmu Rohingya anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), di sini hari ini.
Tambah Raja Azmi, sepanjang ketiadaan Eddie, 47, beliau cukup merindui aktiviti bersarapan bersama-sama di sekitar ibu kota.
“Bayangkan, sejak kami berkahwin, setiap hari selepas solat kami akan mencari kedai makanan yang menarik untuk bersarapan.
“Tetapi apabila Eddie ke Langkawi, baru dua kali saya bersarapan di luar bersama anak-anak,” tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Raja Azmi kini sibuk dengan kerja praproduksi filem Sidek yang dijangka memulakan penggambarannya pada Ogos depan.
Selain itu, Raja Azmi turut terbabit dengan telefilem Khalifahkah Aku, terbitan Pensil Pictures.
“Alhamdulillah, 2017 menjadi tahun yang sibuk buat saya. Saya juga aktif mengadakan ceramah penulisan dan kecantikan buat wanita yang berusia.
“Sementara itu, perniagaan produk pupur wajah Kak Mie Cun juga terjual sebanyak 2,000 bekas dan saya akan membuat penjenamaan semula dari segi bungkusan. Malah, harganya juga akan diturunkan agar ia mampu dimiliki oleh semua orang,” ujarnya.
Sumber: BH Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW