The Rock pemangkin semangat Amar Asyraf untuk berkarya

Aktor yang meraih populariti menerusi rantaian Setia Hujung Nyawa, Amar Asyraf menjadikan pelakon dan ahli gusti terkenal, Dwayne ‘The Rock’ Johnson sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya dan menghiburkan penonton melalui lakonan.

Kata Amar, dia menjadi seorang rakyat Malaysia yang terawal mengikuti perkembangan The Rock menerusi laman sosial Instagram.

Kalau dilihat seimbas lalu, kelihatan seperti selebriti itu ‘poyo’ dan menunjuk-menunjuk. Namun, kenyataan setiap gambar yang dimuat naik mengandungi seribu kata-kata semangat.

Setiap hari, dia pasti membuka Instagram melihat kemas kini terbaru daripada The Rock. Setiap kata-kata yang ditulis akan membakar semangat Amar bukan hanya dalam bidang lakonan tetapi juga dalam meniti arus kehidupan. Pengalaman lelaki bertubuh sasa yang dikongsi menerusi laman sosial itu boleh mendorong semua orang untuk terus menjadi yang terbaik.

“Sudah lama saya menjadi pengikut The Rock di Instagram. Saya memang meminatinya sejak dia masih bergiat aktif dalam sukan gusti.

“Selepas melihat dia menceburi bidang seni, saya meletakkan dia sebagai seorang yang banyak mempengaruhi kehidupan terutamanya sejarah.

“Mungkin orang bercakap kenapa tidak memilih ustaz atau ulama sebagai idola? Jangan silap. Saya masih meletakkan golongan bijak agama ini nombor satu. Namun, sekarang ini saya bercakap mengenai The Rock dalam sudut pandangan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Dia dari sukan gusti, tidak mempunyai latar belakang lakonan tiba-tiba lebih dikenali sebagai pelakon berbanding ahli gusti. Anak muda kini melihat dia sebagai pelakon dan maklumat kerjaya sebelum ini hanya sebagai pengetahuan am yang mungkin tidak penting sangat pun,” katanya.

Amar kagum dengan tindakan berani The Rock beralih kerjaya menjadi pelakon, satu bidang yang sangat jauh berbeza dengan latar belakangnya.

Walaupun masuk industri seni dengan nama yang sudah dikenali, dia merendah diri untuk menimba ilmu lakonan.

“Ketika saya jadi pelajar Aswara, saya tidak pernah dipuji sebagai individu yang mempunyai bakat lakonan tetapi bekerja keras untuk menempatkan diri pada tahap sekarang.

“Ia bukan perkara mudah tetapi melihat keazaman The Rock, saya terpanggil mengikut langkah sama. Hakikatnya, saya ambil jurusan seni pengarahan dan bercadang menjadi pengarah selepas tamat pengajian tetapi saya buat keputusan untuk cuba berlakon terlebih dulu sebelum duduk di kerusi pengarah.

“Apabila banyak berlakon, saya rasa seronok dan sehingga kini masih lagi meneruskan karier sebagai pelakon,” katanya.

Kata Amar, dia mengasah teknik lakonan dengan usaha dan kerja keras. Baginya, kalau The Rock yang dulu ahli gusti boleh berjaya sebagai pelakon, dia pun pasti boleh.

“Saya berada pada tahap sekarang sebab kerja keras sama seperti pelajar di sekolah. Ada yang cikgu cakap sekali saja, dia terus faham dan ingat. Ada juga segelintir yang perlu diajar berulang kali baru faham. Saya termasuk dalam golongan itu. Teknik lakonan semakin baik kerana saya tidak pernah berhenti untuk belajar,” katanya.

Sebagai peminat The Rock, Amar tidak pernah melepaskan peluang menonton semua filem lakonannya. Apabila ada filem baru lakonannya, dia tidak sabar menanti ia ditayangkan di pawagam.

“Walau hanya sekadar pelakon pembantu, The Rock bijak memainkan peranan hingga dilihat sebagai antara penggerak utama jalan cerita,” katanya.

Walaupun tidak pernah bersua muka dengan pelakon kesayangannya itu, aura positif yang disebarkan menerusi Instagram masih ‘sampai’ ke dalam diri Amar.

Dia berharap pelakon itu akan datang ke Malaysia sama ada bagi tujuan mempromosikan filem mahupun bertemu peminat.

“Kira-kira 10 tahun lalu, The Rock pernah turun ke Malaysia tetapi masa itu saya masih belajar. Belum punya wang poket sendiri untuk membeli tiket ke sesi bertemu pelakon itu. Tetapi, kalau tahun ini atau pada masa akan datang dia ke sini, saya pasti tidak akan lepaskan peluang itu,” katanya.

Kata Amar, dia menantikan filem lakonan The Rock tahun ini seperti The Fate Of The Furious, Jumanji dan Baywatch. Dia percaya pelakon itu akan membawa kelainan dalam mengembangkan karakter yang dilakonkannya.

Bukan hanya lakonan, gaya hidup The Rock yang jauh daripada gosip panas turut membuatkan Amar kagum. Tatkala pelakon lain masing-masing dihujani kontroversi, The Rock masih berjaya mengekalkan nama baiknya tanpa terbabit dengan khabar angin yang boleh menjatuhkan reputasinya sebagai pelakon.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber The Rock pemangkin semangat Amar Asyraf untuk berkarya

Post a Comment

Previous Post Next Post