Tiada duit atasi banjir? Pinjamlah dari Bank Dunia, saran timb menteri

Ekoran kekerapan masalah banjir yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, kerajaan disaran membuat pinjaman dari Bank Dunia bagi tujuan pembangunan semula infrastruktur yang terjejas, kata timbalan menteri.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyarankan kerajaan meminjam wang dari Bank Dunia bagi mengatasi masalah kerugian akibat banjir. ― Foto fail

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata perkara sama pernah dilakukan kerajaan semasa membangunkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan mampu membayar semula sedikit demi sedikit, lapor Sinar Harian.

“Jadi sekiranya tidak ada duit kita cadangkan kepada kerajaan supaya meminjam wang Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia atau bank-bank lain yang boleh memberikan peruntukan kewangan,” katanya yang memegang portfolio Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Ahli parlimen Pasir Salak itu berkata jika kerajaan mampu memperuntukkan dana bagi projek-projek besar lain maka isu banjir tidak sepatutnya diketepikan.

“Sebagai wakil rakyat saya meminta dan merayu kerajaan supaya memberikan peruntukan yang secukupnya walaupun ia menelan belanja yang besar.

“Kita tahu ada beberapa projek besar mampu dilaksanakan oleh kerajaan jadi maknanya ada cara dan jalan untuk kerajaan sediakan peruntukan bagi mengatasi masalah banjir ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak memandang ringan kerugian yang dihadapi golongan petani dan penternak kerana ia boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap pemerintah.

“Jadi pimpinan di peringkat atas perlu melihat ia sebagai satu agenda besar dan nasional dengan memberi peruntukan yang secukupnya membangunkan kawasan luar bandar.

“Kerajaan perlu ingat, di sinilah penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada petani dan penduduk luar bandar, jadi jangan terlepas pandang pembangunan di sini,” katanya.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Tiada duit atasi banjir? Pinjamlah dari Bank Dunia, saran timb menteri

Post a Comment

Previous Post Next Post