Tragedi nahas bas ekspres: Isteri pemandu bas dakwa tiada pemandu kedua, syarikat bas beri kenyataan bercanggah | Isteri pemandu bas ekspres Zakeer Zubir, 33, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Pagoh, Johor, 24 Disember lepas mendakwa bas dipandu suaminya tiada pemandu kedua.
Miyarseh Kemat, 33, yang dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar sebelum ini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada 28 Dis lepas, berkata suaminya juga tidak menurunkan pemandu kedua seperti didakwa syarikat bas berkenaan sebelum ini.
Beliau menemani suaminya selepas diminta berbuat demikian oleh Zakeer kerana perlu memandu dalam jarak yang jauh dari Pulau Pinang ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur.
“Sepanjang perjalanan itu, memang tiada langsung pemandu kedua dan saya temankan suami adalah atas permintaan Allahyarham.
“Saya juga tidak ingat bagaimana kemalangan itu (berlaku) kerana sedang tidur ketika kejadian dan hanya sedar selepas keadaan kelam kabut serta terdengar jeritan orang ramai,” kata rakyat Indonesia itu kepada pemberita ketika ditemui di HPP, di sini hari ini.
Terdahulu, Miyarseh menerima wang pampasan sebanyak RM1,500 dari Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang, Shaharuddin Waled. Turut hadir Pengarah HPP Datuk Dr Norsidah Ismail.
Bas yang dipandu Zakeer terlibat dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dan mengorbankan 14 nyawa, termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, berusia setahun.
Miyarseh berkata, sehingga kini tiada wakil syarikat bas yang datang berjumpa beliau atau keluarga suaminya bagi bertanya khabar atau menyalurkan bantuan.
Ibu Zakeer, Rashidah Abdul Rahim, 60, berkata dua cucunya Nur Qistina Zafeerah, 2, dan Nur Cahaya Zulaikha, 5, sering menangis rindukan ayah mereka dan akan meminta dibawa ke kubur untuk menziarahi pusara Zakeer.
“Paling ketara Zulaikha, dia menangis dan memanggil ayahnya serta mengambil baju serta gambar Zakeer untuk dicium, mungkin dia terlalu rindu kerana Zulaikha memang rapat dengan ayahnya. Saya dan anak-anak saya yang lain akan membantu Miyarseh membesarkan dua anak mereka,” katanya.
Sementara itu, Shaharuddin berkata selain sumbangan Perkeso pada hari ini, Miyarseh juga layak menerima wang pencen RM1,300 setiap bulan seumur hidup dan anak-anaknya juga layak untuk menerima pinjaman pendidikan daripada Perkeso jika mereka melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam. – Bernama
Sumber: Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW