BEKAS pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan menyifatkan pemecatan dirinya daripada skuad The Red Giants pada Ogos lalu sebagai tidak adil selain mendedahkan tunggakan gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak sebelum ini masih belum dilunaskan sepenuhnya.
Kenyataan Zainal itu menambah luka dalam kemelut membabitkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan bekas Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Zainal yang hanya sempat membimbing Selangor selama lapan bulan membuka mulut mengenai pemecatannya selepas namanya turut dikaitkan dalam kemelut FAS.
“Sebelum ini saya diam kerana saya terima pemecatan yang telah dibuat. Tetapi apabila nama saya disebut dalam kemelut ini, saya ambil tindakan untuk menjelaskan tentang apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di kediamannya di Shah Alam, semalam.
Menurutnya, beliau mendapat tahu pemecatannya melalui satu pesanan ringkas yang dihantar Mohamed Azmin melalui Penolong Pengurus Pasukan Selangor, Noor Hisham Mohd Ghouth selepas berakhir perlawanan Selangor menentang Kedah pada 8 Ogos 2016.
Zainal berkata, ketidakadilan berlaku apabila dia tidak diberikan peluang untuk memperjelaskan sebab kemerosotan selain rayuannya tidak dilayan.
“Tetapi seperti yang dijelaskan, saya terima pemecatan tersebut cuma sedikit terkilan kerana tidak sempat memperjelaskan situasi.
“Lagipun, pada waktu itu kedudukan pasukan Selangor masih stabil kerana berada di kedudukan ketiga Liga Super.
“Kerana itu saya minta ruang untuk buat rayuan dan beri penjelasan,” katanya.
Tambah parah apabila Zainal turut belum menerima surat pemecatannya secara sah daripada pengurusan lama di bawah bekas pengurus Selangor, Amirudin Shari selain gaji yang dijanjikan masih belum dilunaskan sejak November lalu.
Kata Zainal, ekoran tiada surat sah pemecatannya itu, ia menyukarkan dirinya untuk meneruskan karier kejurulatihan ke negeri lain kerana secara tidak langsung masih terikat dengan FAS.
“Saya mohon beri saya surat yang menyatakan saya dipecat dan gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak, dan saya tidak akan bising lagi selepas ini.
“Saya tak nak salahkan mana-mana pihak, saya buat sidang media ini untuk tuntut hak saya,” katanya.
Pemecatan Zainal, 54, disebabkan kemerosotan prestasi skuad Gergasi Merah selepas tewas buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.
Zainal menandatangani kontrak bersama Gergasi Merah Kuning untuk tempoh dua tahun dan dijadualkan berakhir pada November tahun ini.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW