KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Usaha mencari di dasar laut pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang, kini digantung, demikian menurut kenyataan bersama Malaysia, Australia dan China.
Kapal mencari terakhir dalam operasi itu meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi hari ini, kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu berkata pesawat berkenaan tidak dapat dikesan, “walaupun segala usaha telah dilakukan, menggunakan pengetahuan sains terbaik, teknologi tercanggih serta pemodelan dan nasihat daripada profesional berkemahiran tinggi, yang amat pakar dalam bidang masing-masing”.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng.
Penerbangan MH370, bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Walaupun kajian saintifik secara bersama diteruskan bagi memperhalusi segala kemungkinan, para menteri itu berkata hingga kini, tiada maklumat baharu diperoleh bagi menentukan lokasi tepat pesawat berkenaan berada.
Mereka berkata keputusan untuk menggantung pencarian itu “tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan tanpa perasaan sedih”.
“Ia sejajar dengan keputusan yang diambil tiga negara kami pada Julai 2016 dalam mesyuarat tiga pihak peringkat menteri di Putrajaya,” kata mereka.
Para menteri itu sekali lagi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan mereka kepada banyak negara yang menyediakan kepakaran dan bantuan sejak hari-hari awal tragedi itu berlaku.
“Kami sungguh terharu dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan beratus-ratus orang yang terlibat dengan pencarian itu, yang merupakan cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.
“Usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah terus menambah pengetahuan kami tentang kawasan pencarian dan sangat penting dalam usaha kami untuk mengesan pesawat berkenaan,” kata mereka.
Para menteri berkenaan berkata walaupun pengumuman yang dibuat hari ini sangat penting bagi ketiga-tiga negara, tetapi ia lebih penting bagi keluarga dan sahabat handai mereka yang menaiki pesawat malang itu.
“Kami sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk memperingati dan memberi penghargaan kepada mereka yang kehilangan nyawa serta amat menyedari kepiluan yang dirasai mereka yang kehilangan orang tersayang.
“Kami tetap berharap agar maklumat baharu akan muncul dan akhirnya pesawat itu akan dijumpai,” kata mereka.
Ketika ditanya pada satu majlis di sini, Liow berkata pihaknya akan merujuk kepada kumpulan pakar yang terlibat dalam operasi itu berhubung sebarang usaha pencarian atau tindakan lanjut pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menghargai usaha dan komitmen pelbagai pihak yang terlibat dengan misi pencarian pesawat itu.
“Ia bukan mudah dan sukar untuk dilakukan namun kita berjaya meneruskan pencarian sehingga 120,000 kilometer persegi,” katanya.
Menurutnya usaha pencarian itu telah menelan kos RM500 juta.
Terdahulu, Liow melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2017.
Sumber: BERNAMA
Sumber “Walaupun segala usaha telah dilakukan…” Operasi mencari MH370 digantung mulai hari ini