Bapa Rayu Bantuan Biaya Anak Hidap Asma Kronik, Komplikasi Jantung



PULAU PINANG: Tiga beradik termasuk seorang bayi yang baru dilahirkan Disember lalu terpaksa hidup menderita di bilik sewa sempit di Kampung Makam di sini akibat kesusahan hidup dialami ibu dan bapanya.
Keadaan bertambah memilukan apabila anak sulong, Ayman Ashraff, 5, menghidap penyakit asma kronik manakala Ammar Ashraff, 3, disahkan doktor mengalami komplikasi jantung dan sawan sejak lahir.
Dengan pendapatan bulanan bapanya, Manzoor Yahya, 35, sekitar RM1,000 sebagai pencuci kereta, bekalan ubat dan rawatan susulan kanak-kanak berke­naan sering kali tidak dapat diberikan pada waktu ditetapkan.
Bebanan ditanggung keluarga itu bermula apabila bapanya yang berasal dari Kulim, Kedah bersama isteri, Masidayu Mohd. Isa, 35, berpindah ke negeri ini Mei tahun lalu dan melahirkan anak ketiga, Ameer Ashraff.
Manzoor memberitahu, keadaan bilik daif dan uzur sering menyebabkan anaknya, Ayman Ashraff diserang asma akibat kesejukan melampau pada waktu malam dan Ammar Ashraff diserang sawan akibat cuaca panas pada waktu tengah hari.
Dia yang tidak memiliki kenderaan memberitahu, sering menghadapi masalah menghantar anaknya ke hospital dan terpaksa menyewa teksi.
“Ayman Ashraff pernah diserang asma teruk dan kewangan saya terputus. Jadi saya terpaksa meminjam wang rakan-rakan untuk membayar tambang teksi dan bergegas pulang menghantarnya ke hospital,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di 299-O, Jalan Datuk Keramat, Kampung Makam, di sini hari ini.
Kesempitan hidup dilalui Manzoor membuatkan dia buntu sehingga mengambil keputusan meminjam wang jiran untuk membeli barangan keperluan dapur.
“Sebelum ini, bilik sewa kami di bahagian bawah menyebabkan banyak kelengkapan rumah basah dan tidak boleh digunakan setiap kali hujan tetapi kami memohon berpindah ke tingkat dua rumah ini awal bulan ini,” jelasnya.
Manzoor pernah meminta pekerjaan di Majlis Bandaya Pulau Pinang (MBPP) supaya dapat menyediakan keselesaan kepada anak-anak tetapi masih belum menerima jawapan.
“Saya perlu mencari pekerjaan lebih baik kerana penyakit jantung Ammar Ashraff perlu diubati dengan segera melalui pembedahan yang pasti menelan perbelanjaan tinggi,” jelasnya yang sedang menunggu kelulusan permohonan Pusat Zakat Pulau Pinang.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Manzoor di talian 011-24191983 atau menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional isterinya 071004100076873.

Post a Comment

Previous Post Next Post