Itu luahan Santhi Eerumal, adik kepada penyanyi popular era 80-an, Ben Nathan, 53, yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati.

Sudah 10 tahun Ben Nathan atau nama Islamnya, Ben Adam tidak pulang bertemu keluarga dan lebih selesa untuk menjadi seorang gelandangan.

 Image result for Ben terperangkap dalam zaman kegemilangan

Sudah bermacam cara dilakukan oleh adik dan ahli keluarganya yang lain tetapi Ben tetap berdegil untuk berada di jalanan.

Sekali imbas, tiada siapa sangka Ben yang dahulunya popular kini ibarat seorang yang tidak siuman dengan rupa yang kusut masai.

Tetapi menurut Santhi, dia yakin abangnya tidak gila. Tetapi ada sesuatu perasaan dalaman yang mengganggu Ben sehingga menjadi sebegitu.

“Ibu sampai sekarang menangis melihat keadaan dia. Siapa yang tidak sedih bila tengok anak sendiri sebegitu rupa.

“Tetapi Ben tetap berkeras mahu keluar. Bila kita ajak dia balik ke rumah, dia mula berkeras dan menjadi agresif.

“Kami adik-beradik memang tidak termampu untuk memaksa dia kembali. Jadi, kami biarkan sahaja, tetapi dari jauh, kami sentiasa memantau pergerakan dia,” katanya.

Bila ada yang berkata keluarga seperti tidak mengambil peduli dengan keadaan Ben, jelas Santhi, dia memang sangat terasa.

Orang luar tidak tahu apa punca sebenarnya yang berlaku kepada Ben dan bagaimana sukar keluarganya cuba untuk memberi yang terbaik kepadanya.

“Kita ada adik-beradik yang tinggal di Thailand. Kita siap bawa dia ke sana untuk menjalani rawatan tetapi akhirnya masih sama.

“Dia tetap tidak mahu berada di rumah dan mahu keluar. Dia asyik bercakap yang dia ada rakaman dan ada persembahan yang perlu dilakukan,” katanya.

Bagi Santhi, dia tahu abangnya itu bukanlah seorang yang gila apatah lagi Ben kenal dengan semua adik-beradik dan anak saudaranya.

“Dia tidak gila. Dia cuma terperangkap dalam zaman kegemilangannya. Itu yang jadikan dia sebegitu,” katanya.

Walau apa pun tuduhan yang diberikan kepada keluarga Ben, jelas Santhi, dia bersyukur kerana masih ada pihak terutamanya Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) yang tetap membantu.

Buat masa ini, jelasnya dia hanya mengikut sahaja apa yang ditetapkan oleh doktor untuk masa depan abangnya itu.

Tiga kali tawaran untuk membantu ditolak mentah-mentah oleh Ben walau pun dia kenal dengan Datuk DJ Dave.

Bersama-sama berkongsi pentas satu ketika dahulu, jelas Dave, dia secara peribadi mencari dan mahu membantu Ben.

“Tiga kali saya cuba bantu tetapi dia tolak. Tetapi kali ini, saya paksa juga dia untuk ke hospital dan lakukan sesuatu untuk membantunya.

“Itupun dia berkeras pada mulanya. Tetapi setelah dipujuk oleh saya dan ahli keluarga, dia akhirnya akur untuk ke hospital,” katanya.

Tambah Dave, dia terpaksa mengambil tindakan segera untuk berhubung dengan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Zulkiply Ramli.

“Alhamdulillah, pihak JKM sangat membantu dan sekarang kita perlu menunggu laporan dari hospital terlebih dahulu sebelum memikirkan bantuan yang seterusnya.

“Bagi saya, apa yang penting sekarang adalah untuk memulihkan Ben dahulu daripada penyakitnya sebab saya yakin, dia masih boleh sembuh,” katanya.

Kisah Ben menjadi tular dua hari lalu selepas videonya dalam keadaan kusut-masai menjadi dan asyik bercakap mengenai sesi rakaman yang perlu dihadirinya.

Dalam pada itu, Dave juga sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk mengadakan sebuah persembahan khusus ditujukan kepada Ben.

“Menerusi persembahan itu, kita akan fikir sama ada mahu mengumpul dana atau sebagainya untuk membantu Ben,” katanya.