DRB-Hicom akan mengekalkan ekuiti yang besar dalam Proton



KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd. sedang menunggu penyerahan bidaan daripada pihak-pihak yang berminat untuk menjadi rakan kongsi strategik Proton Holdings Bhd. (Proton), sebelum mula menjalankan penilaian tawaran dengan teliti.
Konglomerat tersebut komi­ted untuk melengkapkan pencarian rakan kongsi strategik Proton menjelang separuh pertama tahun ini, malah akan terus berusaha untuk memuktamadkannya dengan lebih awal sebagai sasaran.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, bagi mencari rakan kongsi strategik paling tepat, DRB-Hicom menilai tiga kriteria utama iaitu kesesuaian strategik, operasi dan keserasian kebudayaan.
TIGA Kriteria tersebut ialah:
    Strategik:
akan membolehkan kedua belah pihak memanfaatkan semua teknologi dan produk yang sedia ada untuk keperluan mereka di dalam pasaran masing-masing. Ia juga akan memastikan Proton mampu menerima manfaat daripada operasi domestik yang lebih besar yang membawa kepada skala ekonomi. Dalam menilai rakan kongsi yang berpotensi, DRB-Hicom akan menjadikannya satu syarat bahawa jenama Proton dan teknologinya akan diperluaskan ke pasaran ASEAN dan seterusnya ke arena global.
    Operasi:
memastikan kedua-dua Proton dan rakan kongsi akan melengkapkan kekuatan masing-masing. Struktur yang wujud pada setiap syarikat haruslah mampu digabung dengan baik untuk mencapai tahap operasi yang lancar di Proton dan di rakan kongsi itu sendiri.
    Budaya:
Seperti dalam mana-mana kerjasama, budaya serasi adalah antara faktor yang memastikan kejayaan. Keserasian antara kedua-dua pihak amat kritikal dalam memacu Proton ke hadapan di samping memperbaiki operasi rakan kongsi sendiri melalui rancangan jangka pendek dan panjang mereka.
Syed Faisal berkata, kriteria-kriteria itu bertujuan memastikan kedua-dua pihak akan mencapai sasaran strategik masing-masing secepat mungkin dan dengan halangan yang minimum kepada operasi perniagaan. Dengan adanya keserasian, DRB-Hicom yakin usahasama ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Rakan kongsi strategik yang tepat akan membantu Proton mempertingkatkan ekuiti jenama sekali gus mampu mengangkat pengeluar kereta nasional tersebut ke arah kecemerlangan seperti pencapaian pada era 80an dan 90an,” kata beliau dalam ken­yataan di sini hari ini.
Sebagai pemegang saham utama kata beliau, DRB-Hicom percaya Proton mampu melakar kejayaan dengan adanya rakan kongsi strategik kerana berpeluang menerokai lebih banyak platform, penjanaan kuasa dan teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti produk.
“Pemulihan penguasaan pasaran Proton menggariskan usaha DRB-Hicom untuk mengekalkannya sebagai pemain utama dalam pasaran automotif. Proton telah berada di pasaran sejak tahun 80an, namun kekal mempunyai ekuiti jenama walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“DRB-Hicom ya­kin untuk memulihkan nasib Proton dan pencarian rakan kongsi strategik tepat adalah kritikal dalam mencapai matlamat itu. Sejarah telah membuktikan kerjasama antara pengeluar kereta kecil dan sebuah jenama gergasi dapat mengubah nasib syarikat,” katanya.
Bertentangan dengan pendapat umum ujar beliau, Proton juga mempunyai pelbagai tawaran kepada calon rakan strategiknya, termasuk menggunakan model mampu milik mengikut piawaian antarabangsa sedia ada Proton seperti Persona, Saga, Preve dan Iriz bagi mana-mana pasaran khusus.
Selain itu katanya, rakan strategiknya juga berpeluang meningkatkan kapasiti pengeluaran menerusi kilang Proton di Tanjung Malim. Buat masa ini, kilang terbabit beroperasi pada kadar yang rendah, namun mengoptimumkan segala kemudahan moden sedia ada akan memacu peluang pekerjaan.
“Proton juga mempunyai pasukan pembangunan dan penyelidikan dalaman, termasuk teknologi yang digunakan bagi Lotus Cars UK. Gabungan kejuruteraan ini menawarkan peluang kepada rakan strategik untuk mempertingkatkan keupayaan sedia ada mereka,” ujarnya.
Syed Faisal berkata, pencarian rakan asing itu bukan usaha untuk melepaskan tanggungjawab DRB-Hicom, tetapi bagi meningkatkan Proton sebagai sebuah pengeluar kereta sekali gus meletakkannya, dan Malaysia di peta dunia.
“Kami telah menyatakan sebelum ini bahawa DRB-Hicom akan mengekalkan ekuiti yang besar dalam Proton. Wajib diperjelaskan bahawa pencarian rakan kongsi strategik ini adalah satu daripada misi penting untuk meneruskan kesinambung­an Proton,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post