Jamal Nekad Lepas Jawatan Demi Menjaga Nama Baik Parti.



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md. Yunos nekad dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan politik sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sungai Besar demi menjaga nama baik parti.
Kata Jamal, beliau akan menghantar surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar hari ini dan akan berjumpa beliau dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun tambahnya, beliau sedia akur dengan sebarang keputusan yang dibuat Noh mengenai peletakan jawatannya itu sama ada diterima atau tidak.
“Saya sayangkan parti dan tidak mahu UMNO atau BN terpalit dengan aktiviti saya membanteras dan menyerbu pusat-pusat judi yang terdapat di negeri Selangor ini.
“Saya juga tidak gilakan jawatan dan sanggup berkorban untuk rakyat di Selangor supaya tidak membiarkan pusat judi yang merosakkan moral anak-anak kita ini terus berleluasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Ahmad Shamsuri Ahmad Mukri.
Semalam, Jamal mengumumkan kemungkinan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar serta semua jawatan politik yang disandang beliau.
Mengulas mengenai penahanannya berhubung serbuan premis judi, Jamal berkata, perkara itu adalah prosedur biasa yang perlu dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mendapat laporan orang ramai.
Katanya, beliau memuji sikap PDRM kerana menjalankan tugas dengan telus dan mengakui ada kalanya keghairahannya dan rakan NGO lain membanteras aktiviti judi di Selangor itu tinggi.
“Hanya dua negeri yang ‘menghalalkan’ aktiviti judi melalui permohonan lesen iaitu Pulau Pinang dan Selangor.
“Di Selangor sahaja ada hampir 7,000 pusat judi yang berselindung di bawah lesen pusat hiburan keluarga yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan PKR Selangor.
“Jika peletakan jawatan politik saya diluluskan, saya akan terus menaungi NGO-NGO yang ada untuk membanteras kegiatan judi ini,” katanya.
- Utusan Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post