Ketua polis negara menjawab, negara ini ada undang-undang, maka Korea Utara harus mematuhinya.
KUALA LUMPUR: Korea Utara secara mutlak menolak laporan bedah siasat kematian lelaki yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Kim Jong Nam mati di Kuala Lumpur pada minggu ini selepas dipercayai diserang di klia2 dengan racun yang mudarat. Pegawai kerajaan Korea Selatan dan Amerika Syarikat berkata beliau dibunuh oleh ejen Korea Utara.
Dalam kenyataan pertamanya sejak kematian lelaki itu, Duta Korea Utara Kang Chol menuntut mayatnya dilepaskan segera.
“Pihak Malaysia paksa bedah siasat dijalankan tanpa kebenaran dan kehadiran kami,” kata Kang Chol kepada pemberita di hospital lewat Jumaat malam.
“Kami menolak hasil bedah siasat secara mutlak.”
Beliau menuduh Malaysia “cuba menyembunyikan sesuatu” dan “berpakat dengan kuasa luar”. Kenyataannya tidak membuat sebarang rujukan kepada identiti lelaki itu.
Wisma Putra belum menjawab kenyataan duta. Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata undang-undang Malaysia perlu dipatuhi.
“Kami ada undang-undang di Malaysia. Semasa di Malaysia, semua orang harus patuh dan mengikut undang-undang dan peraturan kami, termasuklah Korea Utara,” katanya.
Kedutaan Korea Utara secara rasmi memohon mayat Kim Jong-nam dilepaskan pada Khamis. Sebelum itu mereka cuba memujuk pihak berkuasa Malaysia agar tidak melakukan bedah siasat.
Polis pada Jumaat berkata mayat tidak akan dilepaskan sehingga pihaknya menerima sampel DNA daripada waris.
Malaysia antara sebilangan negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara.
Pasport diplomatik
Korea Utara menolak permintaan untuk menjalankan bedah siasat kerana “dia seorang pemegang pasport diplomatik dan warganegara kami yang berada di bawah perlindungan konsulat Korea Utara,” kata Kang.
Beliau berkata Malaysia pada awalnya memaklumkan warganegara Korea Utara itu mati akibat serangan jantung.
“Kami akan bertindak balas terhadap gerakan anasir musuh yang berniat mencemarkan imej republik kami dengan mempolitikkan kejadian ini,” katanya.
Beliau mencadangkan Korea Utara akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa.
Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, duta menuduh Korea Selatan cuba memutarbelitkan pandangan umum.
Dua suspek wanita, seorang warga Indonesia dan seorang pemegang dokumen perjalanan Vietnam, ditangkap dalam siasatan ke atas pembunuhan itu. Seorang lelaki tempatan juga ditahan. Empat lelaki dipercayai rakan sejenayah masih dicari.
Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, secara lantang bersuara membantah dinasti keluarganya ke atas Korea Utara yang terpencil dan bersenjata nuklear.
Agensi perisikan Korea Selatan memberitahu wakil rakyat negara itu di Seoul, Jong Nam tinggal bersama isteri keduanya di wilayah Macau di bawah perlindungan China.
Beliau berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau ketika dibunuh.
Cornelia Charito Siricord, pengarah forensik di kementerian sains, memberitahu Reuters analisis sedang dijalankan ke atas sampel yang diambil daripada mayat untuk membantu polis menentukan punca kematian.
Sumber: FMT
Sumber Korea Utara tolak laporan bedah siasat Kim Jong Nam, tuduh Malaysia berpakat