Ada pemimpin negara asing datang ke Malaysia bukan atas dasar persahabatan tetapi kerana sesuatu yang ‘diberikan’ oleh perdana menteri kepada mereka, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Meskipun tidak menyebut nama pemimpin berkenaan, beliau dipercayai merujuk kedatangan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi bersama delegasi 600 anggota yang terdiri daripada kerabat diraja dan jemaah menteri dari negara itu.
Mahathir dalam satu majlis anjuran BERSATU di Sungai Buloh malam tadi, seperti biasa menyerang musuh nombor satu beliau, Datuk Seri Najib Razak dengan menyentuh isu derma yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.
“Saya belum jumpa manusia yang apabila kita cakap dia pencuri dia ‘eheheh’. Orang semua cakap kamu pencuri. Pemimpin negara lain datang melawat anggap ini menghalalkan perbuatan haram.
“Tapi kita tahu sebab-sebab yang orang asing membuat lawatan ke Malaysia. Saya tak perlu nak sebut di sini. Tapi mereka datang bukan kerana persahabatan tapi kerana ada sesuatu yang Najib boleh bagi kepada mereka.
“Inilah sebabnya mereka berada di sini,” kata Mahathir.
Mahathir berkata, pemimpin negara berkenaan sepatutnya memberi penjelasan mengenai wang derma berkenaan.
“Kita berasa amat malang kerana mereka ini sepatutnya menjelaskan bahawa derma yang diberi oleh mereka itu tak benar- tak ada dokumen yang menunjuk bahawa wang itu diberi secara percuma.
“Tetapi demikianlah mereka sanggup berbohong sama-sama dengan Najib,” kata Mahathir dalam ucapannya kepada kira-kira 1,000 hadirin yang terdiri daripada anggota BERSATU dan penyokong.
Ditanya oleh media kemudian sama ada beliau merujuk kepada Raja Arab Saudi, Mahathir berkata, “Saya tidak berkata apa-apa, anda menyebutnya.”
Tujuh bulan selepas The Wall Street Journal pada Julai 2015 mendedahkan bahawa RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun bank Najib, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengisytiharkan wang itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Apandi juga mendakwa siasatan menunjukkan sebahagian wang itu telah dikembalikan kepada penderma berkenaan.
Sementara itu, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac bagi memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan, termasuk isu kuota haji yang akan menjadi agenda utama.
Lawatan sulung Raja Salman yang menaiki takhta pada 23 Januari 2015, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Sumber: Malaysiakini
Sumber “Mereka bukan datang kerana persahabatan tetapi ada sesuatu Najib boleh bagi pada mereka” – Tun Mahathir