Najib dedah Kerajaan Arab Saudi bakal berikan BR1M dan wujudkan GST untuk rakyatnya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata isu mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak seharusnya dianggap rasuah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan kerajaan Arab Saudi juga merancang untuk menyalurkan bantuan berbentuk wang kepada rakyatnya.

“Semalam saya berbual dengan beberapa menteri kerajaan Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi akan buat beberapa langkah. Pertama mereka buka akaun penduduk di Arab Saudi untuk dimasukkan duit kepada keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam ucapannya dalam satu acara di ibu negara hari ini, Najib berkata isu mengenai BR1M tidak wajar dipolitikkan kerana kerajaan Arab Saudi sendiri tidak menanggap ia sebagai rasuah, seperti didakwa Mahathir.

“Maka jika kerajaan Arab Saudi bagi bantuan dalam bentuk wang, dana kepada rakyat mereka yang memerlukan bantuan, mereka tak anggap itu rasuah, kalau kita buat ada yang anggap rasuah.

“Itu saya kata jangan politikkan, BR1M bukan rasuah, BR1M nak tolong rakyat yang memerlukan bantuan. Kita tak kata dapat BR1M mesti sokong kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, katanya, Arab Saudi sebagai negara yang kaya dengan hasil minyak turut akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ia sekali gus, kata Najib, menunjukkan langkah Malaysia melaksanakan cukai itu pada 2015 bukan langkah yang salah.

“Kerajaan Arab Saudi akan perkenalkan GST tak lama lagi, maknanya kita bukan langkah yang salah.

“Kerajaan Arab Saudi yang kaya dengan minyak pun perkenalkan GST, maka adalah sebab yang munasabah GST diperkenalkan,” katanya.

Semalam Raja Salman Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi tiba di negara ini untuk lawatan empat hari.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 oleh almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan negara ke Malaysia pada 1970.

Harga minyak Saudi nak 50%

Sementara itu, Najib dalam ucapannya berkata, harga minyak di Arab Saudi kini sudah meningkat sehingga 50 peratus.

Namun, katanya, rakyat di negara ini sudah riuh rendah apabila harga petrol itu baru meningkat sebanyak 10sen hingga 20sen.

“Saya nak beritahu harga minyak di Arab Saudi naik 50 peratus, kita di sini riuh rendah kalau naik 10 sen, 20 sen tapi di Arab Saudi dah naik 50 peratus.

“Ini semua memaklumkan tuan-tuan puan-puan, janganlah kita kelirukan rakyat atau hasut rakyat sebab setiap langkah yang dibuat kerajaan bertujuan untuk kepentingan jangka panjang dan pendek kita,” katanya.

Awal bulan lalu Facebook Najib diserang mesej “20¢” selepas kerajaan menaikkan harga minyak RON95 dan RON97 sebanyak 20sen.

Pengguna Internet yang tidak puas hati dengan langkah itu mengambil kesempatan menulis status “20¢” di bahagian komen setiap tulisan dan pautan yang dikongsi beliau.

Ramai pengguna menampal beratus-ratus simbol itu dalam satu komen. Tiada ulasan lain diberikan.

 

Sumber: Malaysiakini



Sumber Najib dedah Kerajaan Arab Saudi bakal berikan BR1M dan wujudkan GST untuk rakyatnya

Post a Comment

Previous Post Next Post