UZUMAKI NARUTO, watak karakter komik Jepun menjadi bualan hangat semalam berikutan tindakan seorang bapa menamakan anaknya dengan watak kartun Jepun itu.
Penyampai radio Shah Rizal Sulaiman menerima kritikan netizen setelah mendedahkan nama anaknya yang baharu lahir sebagai ‘Muhammad Putra Naruto bin Mohd Shah Rizal’ seperti yang tertera pada sijil kelahiran.
Namun, ternyata kisah bayi bernama Naruto itu hanyalah gurauan daripadanya setelah bekas peserta Bintang Mencari Bintang itu mendedahkan ia telah disunting sebelum dimuat naik di laman sosial.
Mungkin ada yang beranggapan hanya bapa yang terlalu taksub dengan komik Jepun dan ‘hati kering’ sahaja yang akan berbuat demikian bukan?
Tetapi tahukah anda, pemilik nama watak ‘Naruto’ ini semenangnya wujud di Malaysia?
Menerusi laman sosial, seorang pelukis grafik mendedahkan yang mana anaknya bernama ‘Muhammad Fazreeq Naruto Bin Suhairi ‘ kini telah pun berusia lapan tahun dan merupakan pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Klang, Selangor.
“Pagi tadi netizen diperanjatkan dengan berita kelahiran Naruto di Bentong Pahang. Petang tadi aku dapat tau berita tu tak betul.
“Sungguh klepet! Untuk membetulkan fakta sebenarnya memang dah lama wujud Naruto di Pekan Meru Klang. Dah 8 tahun pun… hef hef hef,” tulisnya Suhairi Shamsudin di laman Facebook.
Menurut Suhairi, anaknya itu lahir pada 19 Januri 2009 di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah dan nama ‘Naruto’ diberikan kepada anaknya disebabkan terlalu meminati watak popular negara matahari terbit itu.
Apa-apa pun diharapkan agar adik Fazreeq Naruto membesar sebagai anak yang soleh dan kelak menjadi manusia yang berguna kepada agama, ibu bapa dan negara. Jangan bercita-cita ingin menjadi ‘Hokage’ pula ya!
Sumber “Sayalah Naruto yang sebenar” – Muhammad Fazreeq Naruto Bin Suhairi