Majlis persandingan sempena ulang tahun keenam perkahwinan Shuib (Sepahtu) dan Siti Sarah Raisuddin menjadi kejutan buat isterinya itu selepas menerima cincin bertatah berlian sebagai tanda permulaan kehidupan rumah tangga mereka.
Shuib, 33, berkata, ia merupakan hasrat yang sudah lama dipendam dan dia mahu hadiah berkenaan menggantikan cincin perkahwinan lama yang diberi pada enam tahun lalu.
“Saya memang sudah lama berhajat untuk belikan dia cincin baru, jadi saya jadikan ianya kejutan pada malam ini sebagai hadiah istimewa.
“Cincin emas ini merupakan rekaan saya sendiri dan ia sebagai episod baru dalam rumah tangga kami,” ujarnya kepada mStar Online.
Shuib menyarung cincin kepada Siti Sarah.
Shuib dan Siti Sarah ditemui pada majlis persandingan dan ulang tahun ke enam mereka yang diadakan di Bora Ombak, di sini.
Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin yang berusia setahun.
Pada majlis tersebut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad turut mendendangkan lagu Aku Lelakimu yang dipopularkan oleh Virzha.
Dalam pada itu, Siti Sarah yang terharu dengan kejutan berkenaan menganggap ia sebagai hadiah paling manis dalam perkahwinan mereka.
“Dulu saya pernah beritahu dia bahawa saya teringin untuk beli sebentuk cincin tapi dia buat muka seperti tidak tahu sahaja.
Pasangan ini bersama dua anak mereka.
“Saya tidak sangka dalam diam-diam dia buat rancangan kejutan ini,” ujarnya.
Tambah Siti Sarah, dia tidak dapat menahan sebak dan terharu sepanjang berjalan di karpet merah menuju ke pelamin.
Dia tidak menyangka majlis yang diimpikan pada enam tahun lalu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan.
Ini kerana pada majlis pernikahan itu, tiada resepsi persandingan dilakukan.
Dalam pada itu, ditanya tentang rancangan berbulan madu, Siti Sarah berkata, dia akan menggunakan hadiah kemenangan tempat kedua Gegar Vaganza musim ketiga lalu iaitu tiket penerbangan ke Eropah.
Pasangan ini rancang berbulan madu ke Eropah.
“Insya-Allah, saya akan gunakan hadiah kemenangan saya, tapi setakat ini kami tiada rancangan bila dan masa yang sesuai untuk ke sana,” ujarnya.
Pada malam majlis persandingan itu, Shuib segak mengayakan sut serba hitam, manakala Sarah anggun dengan gaun berwarna krim rekaan pereka fesyen terkenal Arma Couture.
Persandingan tema glam ini di dihadiri kira-kira 600 orang tetamu termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat masing-masing.
Antara rakan artis yang hadir ialah Datuk Yusof Haslam, Datuk M. Nasir, Datuk Sri Vida, Ezad Lazim, Shah Slam, Fad Bocey, Zizan Razak, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin.
Sumber: Mstar
Sumber Shuib buat kejutan pada Siti Sarah dengan cincin berlian rekaan sendiri di majlis persandingan mereka