Kerajaan negeri mengesahkan kes selesema burung (H5N1) positif apabila tiga ayam kampung mati dan diambil sampel yang berlaku di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, di sini, pada 6 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bagaimanapun beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak panik, seterusnya meminta penternak memberi kerjasama kepada kakitangan JPV yang memantau kes.
“Pihak kami berpuas hati dengan tindakan JPV Negeri yang bertindak segera dan sudah membuat pelupusan terhadap 170 unggas termasuk ayam kampung, ayam api, angsa, itik, burung, ayam komersil dan 100 telur di kampung berkenaan.
“Kerajaan negeri juga turut menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan bagi menangani kes ini termasuk melaksanakan kerja membasmi dan mengawal lokasi yang terlibat secara langsung dengan kematian ayam terbabit,” katanya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Veterinar Negeri, Nurul Huda Zairi.
Che Abdullah yang juga Ahli Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan Kelantan, mengulas mengenai laporan Sinar Harian Isnin lalu berhubung kes JPV Kelantan yang memantau status kesihatan semua ternakan unggas setelah ada aduan membabitkan kematian ayam baru-baru ini.
Beliau berkata, berikutan kes berkenaan juga, enam kakitangan Jabatan Makmal Veterinar yang terdedah secara langsung dengan penyiasatan bangkai ayam turut dikuarantin dalam tempoh 24 jam dan kini mereka sudah dibebaskan.
“Keenam-enam mereka yang mengendalikan kes dari Makmal Jabatan Veterinar Negeri dikuarantin di Hospital Tumpat dan punca jangkitan masih lagi dalam siasatan.
“Jawatankuasa Bertindak Penyakit Haiwan Negeri dikuatkuasakan serta-merta dan pemantauan diteruskan.
“Kami mengharapkan kerjasama daripada penternak, malah bagi melaksanakan kawalan ini, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Ayam kampung di Kota Bharu positif H5N1, 170 dilupus