Balu terkejut pihak masjid jadikan tanah pusaka miliknya parkir dan tanah perkuburan tanpa kebenaran

Seorang warga emas terkejut apabila mendapati tanah pusaka peninggalan arwah suaminya di Kampung Beladau Kolam, dekat sini, telah dijadikan kawasan meletak kenderaan.

Kesal tanah pusaka dijadikan parkir

Sharifah Zainab Syed Hassan, 72, balu kepada Hasan Muda@Abdul Aziz Mohamed, mendakwa ahli jawatankuasa masjid kampung berkenaan telah menebang pokok buah-buahan di tanah peninggalan suaminya, dan dijadikan parkir.

Dia dan keluarganya adalah penduduk asal kampung berkenaan tetapi telah berpindah dan menetap di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur pada 1993.

Suaminya meninggal dunia pada September 2006, dan tanah pusaka milik keluarganya itu dikatakan mula diambil alih pihak masjid enam tahun kemudian (2012).

Dia telah membuat aduan mengenai perkara ini kepada pihak polis dan Pejabat Pusaka Kecil Kuala Terengganu pada tahun 2015, tetapi hingga kini tidak ada sebarang maklum balas atau tindakan dari pihak berkuasa.

Baru-baru ini Sharifah telah pulang ke kampung asalnya bersama adiknya, Kapten (B) Syed Alimin Syed Hassan, 60, serta anaknya, Ahmad Syakir untuk menemui wartawan Sinar Harian.

Katanya, dia mula menyedari perkara ini apabila pulang ke rumahnya pada 2012  untuk mengutip hasil tanaman di tanah berkenaan, tetapi terkejut sebab pokok-pokok rambutan telah ditebang.

“Pihak masjid telah menebang pokok buah-buahan di atas milik keluarga saya, dan hasil jualan buah-buahan pula diberikan kepada pihak masjid,” katanya kepada wartawan.

Pada Jun 2015, dia sekali lagi pulang dan terkejut apabila mendapati tanah berkenaan telah diratakan oleh pihak masjid dan dijadikan kawasan meletak kenderaan.

“Saya juga telah ke Pejabat Agama Kuala Terengganu untuk memaklumkan perkara ini dan telah menghantar surat, tetapi sehingga kini masih belum dapat sebarang jawapan,” katanya.

Dalam laporannya kepada polis, Sharifah antara lain menyebut: “Mengapa tanah peninggalan arwah suami saya (geran 5001 Lot 6828) dijadikan tanah perkuburan oleh pihak masjid.

“Siapa yang memberi kebenaran ini, sedangkan tanah itu tiada kaitan dengan tanah perkuburan asal yang berada di Lot 6829.

“Adakah pihak masjid mendapat kebenaran pejabat agama? Adakah dokumen atau surat wasiat dari arwah suami saya yang membenarkan tanah itu dijadikan perkuburan, dan kenapa pula dijadikan parkir.”

Menurut Sharifah sepatutnya pihak masjid merujuk kepada keluarganya terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa ke atas tanah tersebut.

“Saya masih hidup dan ada anak-anak, mengapa semua tindakan yang dibuat tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada saya selaku isteri Allahyarham,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Balu terkejut pihak masjid jadikan tanah pusaka miliknya parkir dan tanah perkuburan tanpa kebenaran

Post a Comment

Previous Post Next Post