Selepas lima tahun belajar mengaji, penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor berjaya khatam Al-Quran dengan bimbingan guru agama pada Januari lalu.
Rosyam berkata, pencapaiannya itu juga disifatkan sebagai hadiah terbaik bersempena sambutan ulang tahun hari lahirnya yang ke-50 pada 1 Mac lalu.
“Alhamdulillah selepas lima tahun saya belajar mengaji bermula dengan membaca Iqra saya berjaya khatam Al-Quran dengan bimbingan guru agama pada Januari lalu.
“Sebelum ini saya pernah khatam sendiri sebanyak dua kali ketika mengerjakan Umrah di Mekah pada bulan Ramadan.
“Saya anggap khatam buat kali ketiga ini adalah hadiah bermakna bagi diri saya bersempena dengan sambutan hari lahir saya yang ke-50 baru-baru ini,” katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini, Rosyam pernah mendedahkan beliau tidak pandai mengaji sehingga usianya mencecah 45 tahun.
Tambah Rosyam dia kini sedang mempelajari bahasa Arab daripada seorang ustaz bagi mendalami dan memahami isi kandungan kitab itu.
“Saya tidak mahu setakat pandai baca Al-Quran dan khatam tetapi ingin memahami bahasa kitab itu sendiri dan sebab itu saya belajar daripada ustaz yang pakar dalam bidang itu.
“Saya sebelum ini sudah cukup berasa malu kerana tidak pandai membaca Al-Quran dan kini apabila ada peluang untuk belajar saya memang tidak akan lepaskan,” ujarnya.
Bercakap mengenai sambutan hari jadinya yang ke-50, Rosyam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang sasaran namun mengakui sudah sampai masanya dia sentiasa mengingati mati.
Katanya lagi, dia perlu mempertingkatkan amalannya sebagai seorang Islam sebagai persediaan sebelum mati namun itu bukan bererti dia akan meninggalkan bidang seni.
“Banyak Allah bagi pada saya sehingga tiada apa lagi yang ingin saya minta sebaliknya ingin memperbanyakkan ibadat dan amalan kerana itu adalah bekalan di sana nanti.
“Pun begitu tidaklah sehingga saya akan tinggalkan bidang lakonan tetapi pada usia saya sekarang saya kena banyak buat persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya,” jelasnya.
Bercakap mengenai karier seninya, Rosyam berkata, dia bersyukur pada usianya sekarang dia masih diberi peluang untuk melakonkan watak utama dalam filem-filem besar.
“Situasi yang berlaku kepada saya jarang-jarang berlaku kepada pelakon lain dan saya sendiri tak sangka ada produksi masih mempercayai dengan kredibiliti saya.
“Malah ada beberapa projek besar ditawarkan dan saya lihat ini bukan sahaja sebagai peluang tetapi tanggungjawab atas kepercayaan diberikan kepada saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosyam berkata, dia bakal menerbitkan sebuah drama mini 12 episod iaitu Chor & Chah yang bakal mengetengahkan kit panduan dalam membimbing usahawam baharu yang ingin memulakan perniagaan.
Kata Rosyam, walaupun ingin mengetengahkan mengenai panduan keusahawanan namun drama yang mendapat kerjasama SME Corp Malaysia itu menampilkan jalan cerita menarik seperti drama-drama lain selain menghiburkan.
“Projek drama ini istimewa kerana dalam kita berhibur mengenai kisah Chor & Chah penonton juga dapat menimba ilmu dan tips tentang keusahawanan.
“Cara ini bukan sahaja menarik tetapi penonton juga akan mendapat maklumat tepat untuk memulakan perniagaan dengan mudah,” jelasnya.
Drama itu bakal disiarkan menerusi Youtube bakal menampilkan barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Ummi Nazeera, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz.
Sumber: Mstar
Sumber “Sudah sampai masa saya ingat mati” – Rosyam Nor