Gara-gara berat badan yang semakin bertambah sejak mendirikan rumah tangga buat kali ketiga, Oktober tahun lalu, Awie terpaksa melarang isterinya masuk dapur.
Vokalis Wings itu berkata, hidangan air tangan isteri, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, sukar untuk ditolak apatah lagi setiap menu memang kena dengan seleranya dan anak-anak.
Pemilik nama sebenar Datuk Ahmad Azhar Othman itu berkata, tidak hairan perubahan fizikalnya jelas ketara hanya selepas beberapa bulan mereka menjadi suami isteri.
“Saya bertuah dikurniakan teman hidup yang pandai memasak. Kata orang, untuk memikat suami kena ikat perutnya dulu. Memang kalau ikutkan ada saja hidangan menyelerakan untuk kami sekeluarga.
“Tetapi, melihat saiz tubuh saya yang semakin membesar, nampaknya saya terpaksa ‘mengharamkan’ isteri memasak buat sementara waktu. Tambah-tambah dalam tempoh terdekat ini saya perlu bersedia untuk konsert besar,” katanya kepada BH Online.
Dalam gurauan, akuinya mujur Ladyana memahami, malah menjadi antara insan kesayangan yang memberikan sokongan untuk beliau kembali menjalani senaman dan latihan angkat beban di gimnasium seperti dulu.
Awie berkata, rutin di gimnasium bukan sesuatu yang baharu buat dirinya, malah ia tidak sekadar dijadikan usaha untuk kembali ke tubuh asal, malah latihan bagus sebagai persediaan menghadapi Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama di Istana Budaya pada 6 hingga 9 April depan.
Bermatlamat membantu Yazit Search dan ramai lagi anak seni yang hidup susah, ia juga bakal disertai Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Liza Hanim, Haiza dan Beto Kusyairy.
Sumber: BH Online
Sumber Berat badan bertambah, Awie ‘haramkan’ isteri ke dapur