Alasan kematangan disertai sikap tanggungjawab yang lebih dominan, menjadikan pinangan suami orang mudah diterima walaupun masyarakat belum begitu terbuka dalam soal ini. Apapun, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu ini.

Empat orang jejaka dari Hot FM, Ajak, Syuk, Issey dan Ammar diajak untuk berbicara soal lelaki dan poligami, kenapa dan mengapa? Ditemui ketika di Majlis Lepak Santai bersama Hot FM dan Kool FM baru-baru ini, keepmat-empatnya nampak begitu teruja untuk berkongsi pendapat akan topik menarik ini.

Kematangan jadi faktor utama

TIDAK dinafikan segelintir wanita beranggapan lelaki yang bersedia untuk melayari alam perkahwinan ini masih tidak matang dan hanya memikirkan diri sendiri. Pelawak dan pengacara, Issey atau nama sebenar Fazlisham Mat Hussin tidak menyalahkan kaum hawa untuk berfikir seperti itu kerana kematangan seorang lelaki itu menjadi faktor utama untuk menjadi suami.

Pernah melalui zaman bujang dan berkahwin, Issey banyak belajar serba sedikit mengenai wanita. Baginya, bukan mudah untuk mengetahui lebih dalam apa yang wanita inginkan. Tetapi boleh jadi senang jika masing-masing memberi ruang dan peluang untuk mengenali satu sama lain.

“Antara faktor utama mengapa wanita lebih suka memilih lelaki yang sudah berkahwin kerana sifat kematangannya. Bukan maksud saya lelaki bujang ini tidak matang. Tetapi ada sesetengah perkara orang bujang tidak tahu membuat keputusan dengan serius.

“Itu membuatkan mereka melihat lelaki seperti itu tidak matang. Tambahan pula kalau yang suka berlawak bila sedang bercakap perkara serius. Saya sendiri pernah melalui zaman bujang dan berkahwin. Memang berbeza sangat. Ketika masih solo, saya tidak fikir nak buat keputusan yang serius dan kurang matang.

“Namun selepas berkahwin, secara semula jadi diri kita menjadi seorang yang matang. Tidak semestinya kita perlu serius saja, masih boleh berlawak mengikut situasi dan keadaan. Tetapi jangan letakkan seratus peratus kesalahan kepada lelaki.

“Mungkin ada juga lelaki bujang yang lebih matang daripada lelaki yang sudah berkahwin. Kita tidak boleh kata orang itu tidak matang tanpa mengenali mereka lebih dekat. Kadang-kadang bila bersama kawan, dia memang suka bergurau. Bila bab buat keputusan, dia boleh menjadi serius dan berbincang dengan baik,” jelas Issey.

Penyampai radio ini pernah berkahwin dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015 tetapi perkahwinan mereka berakhir pada 21 Ogos 2016. Issey dan bekas isteri tidak berhubung semenjak perceraian mereka dan sehingga kini dia masih belum jumpa pengganti baru.

Bagi peluang pada lelaki

BERBEZA pula dengan Azizul Ammar atau dikenali sebagai Ammar yang belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Bukan kerana takut dengan komitmen sebagai suami atau ketua keluarga, tetapi dia mempunyai perancangan hidup yang agak teliti, sebelum mahu memikul tanggungjawab besar.

“Ramai yang cakap sepatutnya saya perlu berkahwin cepat memandangkan usia pun sudah mencecah 30 tahun. Namun, saya masih memerlukan masa untuk memperbaiki diri sebelum mendirikan masjid. Banyak lagi perkara yang belum saya selesaikan.

“Kehidupan pun belum stabil, macam mana nak ada isteri dan keluarga. Tetapi bukan bermaksud saya takut dengan komitmen. Bila bercerita pasal bersedia untuk menjadi suami atau tidak, perasaan itu akan datang sendiri,” akui Ammar yang akan berkahwin tidak lama lagi.

Biarpun menyedari ramai wanita lebih memilih lelaki yang mempunyai isteri, namun dia yakin masih ada lagi mencari lelaki bujang,

“Saya yakin bukan semua wanita seperti itu dan masih ada lagi wanita yang mahu berkahwin dengan lelaki bujang. Walaupun lelaki bujang seperti saya tidak ada kehidupan yang stabil namun lelaki bujang juga boleh membuktikan mereka ini boleh mengaturkan perjalanan hidup dengan baik.

“Tetapi mereka perlulah beri peluang kepada lelaki bujang untuk membuktikannya. Kalau sekadar melihat tanpa selidik dan kenal terlebih dahulu, macam mana nak tahu lelaki itu mampu atau tidak memberikan kehidupan yang baik selepas berkahwin,” kata Ammar.

Ajak sering digoda peminat

Terserlah bahawa hubungan pelawak Ajak Shiro dan isterinya, Afifah Amin sering mendapat perhatian di laman sosial. Penyampai radio Hot FM ini, diterjemahkan sebagai seorang suami yang penyayang, romantis serta menjadi idaman kebanyakan wanita.

Maka tidak hairan kenapa banyak wanita yang ingin berkenalan dan menghimpit dirinya, meskipun tahu yang Ajak sudah pun berpunya.

Mengakui pernah menerima pesanan ringkas seakan memikatnya di laman sosial, dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang respon. Tidak pernah menyimpan niat atau perancangan untuk menambah isteri, Ajak memilih hanya untuk setia dengan apa yang ada.

“Saya suka memuat naik foto bersama isteri dan anak-anak di laman sosial. Bukan dengan niat untuk menunjuk tetapi sekadar nak berkongsi. Tapi ada blog yang salah guna dan menulis tajuk yang membuatkan salah faham.

“Sehingga ada beberapa orang wanita yang menghantar pesanan ringkas di laman sosial cuba untuk memikat saya. Tetapi saya tidak pernah ada niat untuk curang atau perancangan berkahwin lain,” kata Ajak.

Menyedari ramai wanita yang ingin berkahwin dengan lelaki berstatus suami, Ajak berpendapat barangkali wanita berkenaan melihat lelaki berstatus suami mempunyai kehidupan yang stabil berbanding yang masih bujang.

“Sejak akhir-akhir ini saya banyak terbaca artikel mengenai wanita memilih lelaki berkahwin berbanding bujang. Bagi saya, tidak ada salah jika wanita itu mahu berkahwin dengan suami orang kerana dalam Islam, lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu. Namun, ikut kemampuan dan dengan keizinan isteri pertama,” tambahnya.

Bagi Ajak, mungkin wanita itu melihat pada kehidupan yang stabil dan boleh memberikan komitmen kepada mereka. Sesetengah lelaki bujang belum tentu mahukan komitmen dan tidak bersedia untuk berumah tangga di usia 20-an.

Tahu melayan wanita

“SEBAB lelaki yang sudah berkahwin tahu macam mana nak layan wanita dengan cara yang betul,” jawab Syuk yang memberi pendapat apabila ditanya soal yang sama.

Selain itu juga, lelaki yang sudah bergelar suami juga lebih tahu cara memujuk wanita ketika mereka marah atau sakit hati. Bukan bermaksud lelaki bujang ini tidak tahu melayan wanita dengan betul, tetapi mereka ini tidak terlalu memikirkan hal remeh seperti itu.

“Pada saya, wanita yang pilih lelaki yang berkahwin sebenarnya mereka melihat masa depan. Kalau lelaki itu membalas cinta yang datang, bermakna dia pun tahu dirinya stabil dan mampu untuk berkahwin lain, orang bujang ni banyak yang tidak mahu mengambil serius bila bercakap mengenai rumah tangga,” kata Syuk.

Syuk dan isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah berkahwin pada 20 Disember 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Qurratu Ain, satu tahun.

Berbalik kepada kerjayanya sebagai penyampai radio, sudah hampir tiga bulan Syuk menceriakan pendengar Hot FM, Dengan berbekalkan pengalaman bersama dua buah stesen radio, tidak ada masalah buat pelawak terkenal ini mengendali segmen Geng Pagi Hot.

“Alhamdulillah, rezeki saya diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab baru di stesen Hot FM. Bersama Ajak dan Fizie, tidak ada masalah untuk bekerjasama. Biarpun kami mengendali satu segmen yang sama, tidak pernah ada rasa nak bersaing untuk dapat perhatian lebih,” ujarnya.