Dr Zakir Naik sedia bertemu Siti Kassim

Tiada jawapan balas daripada peguam, Siti Kassim berhubung kesediaan penceramah terkenal dari India, Dr Zakir Naik untuk mengadakan pertemuan melalui usaha diatur Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Dr Zakir Naik sedia bertemu Siti Kassim

Dr Zakir Naik sedia bertemu Siti Kassim

Menurut Fathul Bari, maklum balas kesediaan Dr Zakir itu  dimuat naik menerusi laman sosial Facebooknya sejak kelmarin.

“Namun pihak berkenaan tidak beri apa-apa maklum balas berhubung hal tersebut. Saya pula tidak menghubungi peguam tersebut (Siti) secara langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu status di Facebook beliau, Fathul Bari menulis: “Saya telah maklumkan kepada Dr Zakir Naik tentang cadangan saya supaya Siti Kassim dan Asiah Jalil bertemu beliau. Dan ini jawapan beliau…”

Fathul Bari kemudian memuat naik  paparan skrin aplikasi WhatsApp perbualannya bersama Dr Zakir berhubung usaha mengadakan pertemuan yang belum dipastikan tarikhnya itu.

Dalam paparan berkenaan, Dr Zakir menyatakan kesudian beliau memenuhi permintaan tersebut.

Antara ayat balas yang dinyatakan Dr Zakir berbunyi, “If you think it will be fruitful and their niyyah is good, I would not mind meeting them” (Jika kamu fikir ia membuahkan hasil baik dan niat mereka bagus, saya tidak kisah bertemu dengan mereka).

Fathul Bari berkata, Dr Zakir kini berada di Malaysia dan jika ada persetujuan semua pihak, pertemuan ini boleh diadakan bila-bila masa.

“Sekiranya pihak terbabit bersetuju, boleh sahaja buat secara tertutup, yang penting dapat luahkan apa yang dia (Siti) nak cakap. Perkara ini penting kerana dia (Siti) telah bercakap kepada umum dengan dakwaan tertentu sehingga menimbulkan pelbagai keraguan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pertemuan itu adalah satu cara positif dan terpulang kepada kedua-dua pihak ingin mengadakannya secara diskusi, perbincangan biasa mahupun debat.

Jika tidak, Fathul Bari berpandangan, ia sekadar perjuangan yang bersandarkan kepada retorik.

Fathul Bari juga mencadangkan agar pertemuan itu diatur oleh Sinar Harian.

“Sebab saya lihat, Sinar Harian banyak menyiarkan perbincangan mengenai Rang Undang-undang (RUU), jadi daripada fokus kepada RUU sahaja, baik kita aturkan topik ini pula,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Siti Kassim tidak berhasil.

Siti Kassim atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim sebelum ini mendakwa Dr Zakir adalah lelaki berbahaya dan ekstremis yang tidak sepatutnya dibenarkan berada di Malaysia.

Beliau bersama 19 rakyat Malaysia yang lain telah memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan, manakala empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Dr Zakir Naik sedia bertemu Siti Kassim

Post a Comment

Previous Post Next Post