Korea Utara telah melepaskan empat peluru berpandu balistik ke arah lautan Jepun pagi tadi.
Memetik laporan BBC, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengesahkan perkara itu dengan menyatakan tiga daripadanya jatuh ke dalam zon ekonomi eksklusif Jepun (EEZ) selepas terbang setinggi 1,000km (620 batu) dan ia dianggap sebagai ‘peringkat baru dalam ancaman’.
Menurut seorang pegawai tentera Korea Selatan, peluru berpandu tersebut dilepaskan dari wilayah Tongchang-ri, sempadan Korea Utara dengan China.
Biarpun masih tidak tahu apakah jenis peluru yang dilepaskan, namun Korea Utara dilihat telah melanggar perintah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak melakukan sebarang cubaan melepaskan atau apa sahaja dalam bentuk nuklear.
Pejabat tentera Korea Selatan turut mengesahkan peluru berpandu yang dilepaskan pagi tadi sekitar jam 7.36 pagi waktu tempatan.
Jumaat lalu, Pyongyang mengancam akan melepaskan peluru berpandu sebagai respons terhadap latihan ketenteraan Foal Eagle yang dilakukan di antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Korea Utara beranggapan, latihan itu adalah sebagai persediaan kedua-dua negara itu mahu menentang mereka.
Sumber: Sinar
Sumber Korea Utara lepaskan empat peluru berpandu balistik ke arah lautan Jepun