Umur bukanlah faktor penghalang melakukan sesuatu baharu, terutamanya apabila ia membabitkan aktiviti lasak dan mencabar.
Hal itu dibuktikan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, apabila pada usia 73 tahun dia berjaya melakukan sesuatu yang dianggap di luar kemampuannya selama ini, iaitu selam skuba.
Dalam satu entri laman Facebooknya, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang terkenal dengan jolokan `wanita besi’ itu, dia berkongsikan pengalaman menyelam skuba di Koh Adang, Laut Andaman, Thailand bulan lepas.
“Hari ini, saya ingin berkongsi kegembiraan saya berjaya melakukan sesuatu yang sering saya anggap melangkaui kemampuan saya… untuk menyelam skuba… dan melihat sendiri dunia di bawah air yang mempunyai kehidupan sendiri… untuk melihat sendiri keindahan dan keajaiban hidupan laut,” katanya.
Menurut Rafidah, selaman di laut pertama dilakukan di Koh Adang, Laut Andaman Thailand pada 7 Februari lalu, pada kedalaman 4.5 meter selama 30 minit.
Selaman di Koh Lipe keesokan harinya, beliau menyelam pada kedalaman 14 meter, diikuti dengan selaman berikutnya di perairan Kepulauan Similan di lokasi seperti Honeymoon Bay, Anita’s Reef, East Of Eden dan Koh Bon.
“Saya (dapat) melihat batu karangan yang cantik dan pelbagai jenis ikan. Saya juga dapat melihat garden eels di Anitas Reef… pada kedalaman 21 meter,” ujarnya.
Menurut Rafidah, selaman seterusnya di Koh Bon pada kedalaman 27 meter merupakan selaman paling menyeronokkan kerana dia berharap dapat melihat ikan pari manta.
“Bagaimanapun kelibat spesis unik itu tidak muncul hari itu, namun saya amat berterima kasih kepada jurulatih selaman saya, yang berjaya membuka dunia bawah laut buat saya,” ujarnya lagi.
Rafidah seterusnya berkata: “Dan kini, saya merupakan seorang penyelam berumur 73 tahun yang amat gembira!.”
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Pada usia 73 tahun, Rafidah Aziz buktikan keupayaan menyelam sedalam 27 meter