Tuan Asmawi dedah ritual Raja Bomoh direka sendiri dan tak ikut Islam

Upacara ritual Datuk Ibrahim Mat Zin yang dilakukan untuk “memagar” Malaysia bertentangan dengan ajaran Islam, kata Tuan Asmawi Tuan Umar.

Tuan Asmawi berkata Ibrahim sewajarnya disiasat demi memastikan masyarakat tidak keliru dan mengekalkan kesucian agama Islam. — Foto oleh Choo Choy May

Pengamal perubatan Islam itu berkata apa yang dilakukan Raja Bomoh itu adalah rekaannya sendiri dan cenderung mengelirukan masyarakat.

“Dengan buah kelapa, simbah air, apa benda itu? Jadi kelakar, orang tidak faham dan akhirnya orang akan ejek.

“Saya bukan nak perlekehkan usaha dia tetapi ini menimbulkan syak.

“Tiada istilah perubatan [Islam] begitu. Ia upacara direka sendiri,” katanya kepada ProjekMMO.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini berkata Raja Bomoh belum terkeluar dari garis panduan perubatan Islam bagaimanapun ritual Ibrahim itu perlu disiasat.

“Kita bagaimanapun tidak cakap yang raja bomoh itu terkeluar daripada garis panduan perubatan Islam seperti didakwanya, namun kita perlu menyiasat terlebih dahulu.

“Sekiranya kenyataan diberi tidak mengikut undang-undang, maka itu menjadi satu kesalahan dan kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Tuan Asmawi berkata Ibrahim sewajarnya disiasat demi memastikan masyarakat tidak keliru dan mengekalkan kesucian agama Islam.

Katanya, ritual Ibrahim demi meraih populariti dengan cuba memasukkan elemen doa agar kelihatan Islamik.

“Pepatah Arab zaman jahiliah ada berkata ‘kamu kencing atas telaga zam zam, nescaya kamu akan dikenali’. Jadi siapa tidak kenal kalau buat kerja bodoh? Satu Malaysia kenal.

“Ritual Ibrahim ada elemen doa tetapi kenapa hendak doa di tempat macam itu?

“Kenapa tidak berdoa di masjid? Kita pun tak marah dan orang akan faham,” katanya.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Tuan Asmawi dedah ritual Raja Bomoh direka sendiri dan tak ikut Islam

Post a Comment

Previous Post Next Post