Semalam (Isnin), pihak SURIA ada menyiarkan tentang kisah yang melibatkan bekas pelari pecut negara iaitu Watson Nyambek yang berang dengan tindakan pengacara Ammar dan Marsha menerusi rancangan ‘Sukan Tak Sentral’ anjuran Primeworks Studios yang mempersendakan nama mendiang ayahnya.
Isu itu juga telah menaikkan kemarahan netizen yang menganggap pihak produksi dan pengacara seakan-akan tidak peka dan sensitif dengan isu-isu sebegini.
Walaupun pihak Primeworks Studios dan pengacara rancangan itu telah tampil bagi memohon maaf berhubung insiden ini tetapi ia masih belum berjaya meredakan kemarahan netizen.
Kali ini, menerusi akaun Instagram milik TV3 Malaysia, pihak mereka sudah pun mengambil keputusan sebulat suara untuk menggantung perkhidmatan pengacara dan krew produksi tanpa tempoh.
PRIMEWORKS STUDIOS MENGGANTUNG PERKHIDMATAN PENGACARA DAN KREW PRODUKSI RANCANGAN SUKAN TAK SENTRAL
PETALING JAYA, 24 April 2017. Primeworks Studios Sdn Bhd (“Primeworks Studios”) mengumumkan tindakan menggantung (tanpa tempoh) perkhidmatan pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan dan krew produksi ekoran insiden mempersendakan nama ayah dan keluarga Watson Nyambek melalui rancangan tersebut. Sepanjang tempoh penggantungan ini, Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan terbitan Primeworks Studios.
Delegasi pengurusan Primeworks Studios dan stesen TV3/TV9 telah mengadakan pertemuan bersama Watson Nyambek di Miri, Sarawak pada 24 April 2017. Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar bertujuan untuk menzahirkan rasa kesal Primeworks Studios dan memohon maaf kepada keluarga Watson di atas kejadian tersebut. Turut hadir, pengacara Azizul Ammar dan penerbit rancangan Abdul Ghani Mohd Mokhtar.
Menurut Datuk Ahmad Izham, “Perbuatan mempersendakan nama baik ayah dan keluarga Watson Nyambek adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku. Kami akui, perbuatan tersebut telah menyinggung perasaan Watson dan juga masyarakat Malaysia secara amnya. Setelah membuat penelitian terhadap kes ini, kita telah mengambil langkah untuk menggantung perkhidmatan Ammar dan krew produksi dari segala rancangan terbitan Primeworks Studios,”
Mengulas mengenai tindakan Watson dalam membuat laporan polis berkaitan rancangan tersebut, Datuk Ahmad Izham berkata Primeworks Studios bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa. “Sebagai syarikat penerbit rancangan tersebut, Primeworks Studios tidak akan lari dari tanggungjawab dan kami komited untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik bagi Watson dan keluarganya,” tambah beliau.
Apa yang difahamkan, Ammar juga tidak akan dipanggil untuk menyertai mana-mana rancangan anjuran Primeworks Studios sepanjang tempoh penggantungan ini dijalankan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Datuk Ahmad Izham Omar, pihak syarikat juga akan bertanggungjawab dan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu ini.
Sumber: Suria
Sumber Ammar Menangis Sebaik Sahaja Pihak Primeworks Studios Umum Perkhidmatan Beliau Digantung