Arab Saudi keluar fatwa wanita boleh jadi Tok Kadi nikahkan pasangan

Percaya atau tidak, wanita Arab Saudi bakal boleh menjalankan pernikahan pasangan yang ingin berkahwin secara sah, menurut laporan portal tempatan Arab News.

Ia memetik satu fatwa terbaharu yang dikeluarkan oleh seorang anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Sheikh Abdullah Al-Manea dan disiarkan Okaz, sebuah akhbar popular berpangkalan di Jeddah.

Beliau menyatakan, tugas mereka itu sekadar mencatat dokumen kontrak perkahwinan dan “jika Kementerian Kehakiman meluluskannya, maka tidak ada sebarang halangan dari segi isu undang-undang”.

Namun untuk melayakkan diri bagi mendapatkan lesen, pemohon perlu mempunyai tatasusila yang baik dan tiada rekod jenayah, mendapat sokongan daripada dua ulama Islam dan mesti berusia 25 tahun ke atas.

Ini bukanlah fatwa kontroversi pertama yang pernah dikeluarkan oleh Sheikh Abdullah sendiri dan dikatakan begitu cenderung dalam menyebelahi kebajikan golongan wanita Arab Saudi selama ini.

Pada September lalu, beliau ada berkata bahawa wanita adalah penjaga diri mereka sendiri dan mempunyai hak untuk menguruskan semua ehwal berkaitan diri mereka kecuali dalam perkahwinan.

Seorang peguam tempatan, Nojoud Qasim yang turut sependapat memberitahu Arab News, sebenarnya tiada pun halangan dari segi undang-undang bagi wanita untuk menjalankan pernikahan.

Malahan ujar beliau lagi, memang terdapat permintaan yang tinggi bagi kerjaya tersebut dalam kalangan wanita Arab Saudi “jika mereka diberi peluang”.

Sumber: Mynewshub.cc



Sumber Arab Saudi keluar fatwa wanita boleh jadi Tok Kadi nikahkan pasangan

Post a Comment

Previous Post Next Post