Kira-kira 37 tahun lalu, Ahmad Yusof Serkan, 66, hanya seorang penjual ayam siap proses secara kecil-kecilan selain menternak lembu dan kambing bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat di Benut, Pontian.
Pada peringkat awal iaitu pada tahun 1980, dia hanya mampu menjual seekor ayam sehari di pasar Benut kerana ketika itu pengguna membeli bukan seekor, sebaliknya ayam secara potong.
Namun, jumlah itu meningkat antara 30 hingga 100 ekor sehari apatah lagi semasa bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Masih segar dalam ingatan pada tahun 1983, setelah mendirikan rumah tangga dengan modal RM3,000 saya mula mengembangkan perniagaan dengan menternak dan menjual ayam di samping menternak lembu dan kambing serta hasilnya dijualkan di pasar-pasar awam, pasar pagi, kedai runcit, sekolah, restoran dan gerai di sekitar pekan Benut.
“Sejak itu perniagaan mula berkembang sedikit demi sedikit dan pada tahun 1985 mula melebarkan sayap perniagaan di bandar raya Johor Bahru setelah menyertai pasar tani di bawah naungan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang beroperasi setiap Sabtu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Bapa kepada enam orang anak yang tinggal di Belahan Tampok, Benut ini memberitahu, dengan bantuan FAMA, dia dan isteri, Sawilah Masrom, 55, berjaya mengembangkan perniagaan tersebut sehingga mampu memasarkan 3,000 dan jumlah itu meningkat menjadi 5,000 ekor ayam sehari.
Datuk kepada enam cucu ini memberitahu, semua produknya dipasarkan di sekitar Benut dan Johor Bahru.
Ujarnya, pasaran yang amat memberangsangkan adalah di bandar raya ini berikutan permintaan tinggi termasuk daripada warga Singapura.
“Apabila perniagaan terus berkembang dan bagi melancarkan urus tadbir perniagaan pada 2005, kami menubuhkan syarikat Sumbang Bitara Sdn. Bhd., yang diterajui oleh keluarga termasuk anak-anak dan dua menantu dengan saya hanya bertindak sebagai penasihat.
“Berikutan komitmen dan kejayaan mengendalikan ayam proses, pada tahun 2015 Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menganugerahkan projek Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam yang beroperasi di Kawasan Perdagangan Pandan, dekat sini.
“Untuk itu, Sumbang Bitara telah menyuntik modal sebanyak RM2 juta untuk membaiki dan menaik taraf kilang tersebut yang melengkapi pelbagai mesin, peralatan dan kemudahan berkaitan,” katanya.
“Hasil daripada bantuan MBJB, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengeluarkan lesen halal dan sokongan agensi-agensi yang berkaitan, kini kami mampu memasarkan antara 12,000 hingga 15,000 ekor ayam sehari dan antara pasaran baharu yang berpontesi besar ialah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.
Menurutnya, bagi mengendalikan dan melancarkan pusat pemprosesan itu, pihaknya turut dibantu seramai 40 pekerja.
Sumber: Utusan Online
Sumber Dari jual seekor ayam, kini sudah 5000 ekor sehari