Seorang anak kapal Malaysia Airlines menyelamatkan wang RM50,000 milik usahawan “terlajak laris” Datuk Aliff Syukri kelmarin.
Pengarah urusan D’Herbs, yang pulang menunaikan umrah, tertinggal beg berisi wang itu selepas mengurus neneknya keluar dari pesawat, lapor Harian Metro.
“Lepas setengah jam, ketika dalam perjalanan pulang baru saya sedar beg tiada. Kelam-kabut saya patah balik dan rupa-rupanya abang pramugara tolong simpankan.
“Saya puji sikapnya yang jujur kerana tiada wang saya hilang,” katanya, yang turut berlakon filem Badang, yang bakal ditayangkan pada Ogos.
Aliff juga memuatkan foto beliau bersama anak kapal itu Zul Zaidi Abdullah di laman Instagram semalam dengan meluahkan rasa syukur.
“Susah, bukan, hendak jumpa orang yang jujur macam mamat ini, betul tidak?
“Siapa kenal mamat ini sila tag namanya, ya?” coretnya sebelum seseorang memaklumkan nama tersebut di laman sosial itu.
Sumber: Projek MMO
Sumber Dato Aliff Syukri tertinggal beg berisi RM50,000: Abang pramugara tolong pulangkan