Bagai mati hidup semula. Itu ‘keajaiban’ dialami peluncur udara yang dijumpai selamat selepas 24 jam hilang akibat diterbangkan angin kuat ketika meluncur di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, kelmarin.
Mohammad Rosely Azli, 53, berkata, dia gagal mengawal payung layar sehingga ‘disedut’ memasuki kepulan awan hitam.
“Saya akui memang salah saya, sepatutnya saya dengar arahan operator lapangan supaya terbang ke arah padang Taman Milenium untuk pendaratan segera.
“Tapi saya berpatah balik pada ketinggian asal (426 meter) kerana beranggapan cuaca baik tanpa sedar ada kepulan awan hitam sebelah belakang.
“Bila masuk dalam awan hitam, saya masih dapat bercakap melalui walkie talkie…tapi angin kuat menyebabkan walki talkie terjatuh sebelum bergulung-gulung dalam awan,” katanya.
Jelasnya, situasi itu amat menakutkan dan bertambah buruk apabila dia hilang upaya mengawal payung layar sebaliknya diterbangkan semakin tinggi.
Menurutnya, dia beberapa kali mencuba melakukan pelbagai teknik menurun payung layar secara menegak untuk keluar dari kepulan awan hitam namun tidak berjaya.
“Macam-macam teknik saya cuba, tapi bila turun sedikit… payung layar naik semula macam kena ‘tarik’.
“Sampailah memasuki kawasan awan putih.. sangat terang dan saya tak nampal apa-apa kecuali putih di sekeliling.
“Saya mulai rasa sesak nafas kerana udara makin nipis dan terasa hujan seperti ketulan ais.. situasi sebegini hanya berlaku pada ketinggian melebihi 3,500 meter,” katanya.
Mohammad Rosely yang berpengalaman dalam luncur udara sejak 10 tahun lalu itu berkata, udara terlalu sejuk menyebabkan dia sukar bernafas sebelum pengsan.
Menurutnya, dia hanya sedarkan diri selepas mendapati berada di atas tanah dalam kawasan hutan.
“Bila bangun.. tangan kanan dah tak terasa dan sukar digerakkan seperti lumpuh manakala kaki sedikit sakit.
“Saya tengok jam tangan.. waktu itu pukul 6.08 petang dan tidak lama kemudian, hujan lebat.
“Sepanjang malam tidur berselimutkan payung layar dan minum air hujan.. nasib ada beberapa gula untuk alas perut,”katanya.
Dia bercerita hanya terdengar deruman enjin pesawat pada sebelah pagi keesokkan harinya (semalam) dan sekali lagi pada sebelah petang sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.
Menurutnya, terperangkap di dalam hutan tanpa bekalan makanan menyebabkan dia tidak berupaya bergerak ke kawasan lapang.
“Sebelah malam, saya nampak deretan lampu jalan dan dengan bunyi ayam.
“Bersyukur sangat dan selepas melalui keadaan mengerikan ini, saya seperti tidak menyangka masih bernyawa.
“Serik..rasa tidak mahu lagi meluncur udara.. cukuplah ini yang terakhir,” katanya.
Mohammad Rosely berkata, dia sudah melakukan lebih 100 penerbangan termasuk di luar negara dan beberapa kali di lokasi itu.
Sumber Peluncur udara hilang mengaku salah ingkar arahan pendaratan segera